Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeKuala LumpurWilayah Persekutuan

Tempoh Satu Bulan Untuk Bekas Penyewa Ingkar – DBKL

By 15 Ogos 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan dan Foto oleh: Saharuddin Othman & Azri Zainal Abidin (Kuala Lumpur)


KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Malaysiaaktif) – “Kita dapati 16,634 bekas penyewa yang masih lagi gagal membuat bayaran dan ianya masih perlu dibayar walaupun bekas penyewa ini tidak lagi menetap di Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR).”

Tegas Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio-Ekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Ibrahim Yusoff ketika ditemui pada Sidang Media Khas Pelantikan Syarikat Untuk Pembacaan Meter dan Pengeluaran Meter Air PA dan PPR di sini, hari ini.

“Sidang media ini adalah maklumbalas kepada warga kota serta bekas penghuni PA dan PPR yang menyewa kemudahan DBKL.

“Pemberitahuan kepada bekas penyewa ini supaya menjelaskan tunggakan sewa dalam tempoh sebulan dari tarikh hari ini, 15 Ogos 2017. Kita minta kepada semua bekas penyewa PA dan PPR ini untuk melunaskan sewa yang tertunggak dan tidak dibayar kepada pihak DBKL,” katanya.

Menurut Ibrahim, tindakan juga akan diambil terhadap bekas penyewa yang tidak melangsaikan bayaran tertunggak.

“Kita akan mengambil tindakan sehingga menyenarai hitamkan bekas penyewa ini. Pada peringkat awal ini kita akan menghantar notis kepada mereka mengikut alamat terakhir, seterusnya kita akan mengambil tindakan mahkamah berdasarkan kepada peruntukan undang-undang yang sedia ada,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ibrahim juga mengingatkan bekas penyewa pusat penjaja dan pasar berbangunan DBKL untuk menjelaskan bayaran tertunggak sewaan mereka.

“Kita akan mengambil tindakan yang sama kepada bekas-bekas penyewa pusat penjaja dan pasar berbangunan DBKL yang mempunyai tunggakan sewa supaya menjelaskan hutang mereka berdasarkan kepada surat perjanjian antara mereka dan DBKL,” katanya lagi.

Menurut Ibrahim, untuk rekod seramai 8,105 bekas penyewa masih gagal untuk menjelaskan tunggakan sewa dan Notis Tuntutan Tunggakan telah diberikan secara beringkat sejak bulan Jun 2017.

Jelasnya, pungutan sewa berkenaan adalah untuk pembiayaan penyelenggaraan unit PA dan PPR serta unit pusat penjaja dan pasar berbangunan DBKL.

“DBKL tidak pernah mengambil untung kerana DBKL bukanlah ‘profit-oriented’, tetapi mereka adalah sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang membantu menguruskan kemudahan-kemudahan rakyat melalui pungutan sewa tersebut.

“Para bekas penyewa ini akan disenarai hitamkan dan tidak akan menikmati lagi kemudahan yang ditawarkan oleh DBKL,” katanya.

Pengurus Besar Operasi Syarikat BPO Distributions Sdn Bhd, Mohd Fazil Mustaffa (kiri) memberikan penerangan lanjut semasa Sidang Media Khas tersebut.

Pengurus Besar Operasi Syarikat BPO Distributions Sdn Bhd, Mohd Fazil Mustaffa (kiri) memberikan penerangan lanjut semasa Sidang Media Khas tersebut.

Pada majlis yang sama, Ibrahim memaklumkan bahawa DBKL telah melantik Syarikat BPO Distributions Sdn Bhd (BPO) untuk pelaksanaan kerja-kerja pembacaan meter dan pengeluaran bil air di PA dan PPR di bawah pentadbiran DBKL bermula 1 Ogos 2017.

“Syarikat ini akan membantu DBKL dari segi penyerahan notis-notis makluman dan tuntutan bayaran bil air serta bertanggungjawab untuk mengesan dan melaporkan kepada DBKL sebarang kerosakan atau pengubahsuaian terhadap meter air sedia ada,” katanya lagi.

Kerja-kerja pembacaan meter dan pengeluaran bil oleh syarikat ini akan bermula dalam tempoh terdekat dan bil air yang yang dikeluarkan adalah merangkumi caj bulan semasa serta jumlah tunggakan yang dikira bermula Januari 2014 hingga Julai 2017.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL, Wan Ghazali Noh; Pengarah Jabatan Perlesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL, Anwar Md. Zin serta Pengurus Besar Operasi Syarikat BPO Distributions Sdn Bhd, Mohd Fazil Mustaffa.

– AH

Tinggalkan komen anda