Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

16 September Dikongsi Bersama Seluruh Negara

By 17 September 2017September 18th, 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Mohd Baharruddin Mohamad/Jaed Tipus (Sarawak)

SIBU, 17 Sept (Malaysiaaktif) – Walaupun sebelum ini Hari Malaysia hanya disambut dan diraikan di Sabah dan Sarawak sahaja, namun kini 16 September disambut seluruh negara.

Menurut Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, ini bukan bermakna Sarawak tidak mengiktiraf 31 Ogos sebagai hari yang penting.

Tun Abdul Taib Mahmud (dua dari kanan) ketika menyempurnakan gimik pelancaran sambutan.

Tun Abdul Taib Mahmud (dua dari kanan) ketika menyempurnakan gimik pelancaran sambutan.

“Kita menghormati 31 Ogos 1957 sebagai tarikh Persekutuan Tanah Melayu mendapat kemerdekaan daripada British dan diikuti oleh penubuhan Malaysia enam tahun kemudian pada 16 September 1963 yang kita raikan sekarang.

“Saya menganggap bahawa 16 September adalah hari yang amat penting dalam sejarah Malaysia kalau dibandingkan dengan tarikh 31 Ogos kerana Malaysia belum wujud pada tarikh tersebut,” ujarnya.

Abang Johari turut menggesa seluruh rakyat untuk bersama-sama menjunjung tarikh ini dengan mengorak langkah ke arah masa hadapan yang lebih bermakna.

Lebih 7,000 pengunjung meriahkan sambutan Hari Malaysia peringkat Negeri Sarawak 2017 yang berlangsung di Dataran Bandar Sibu, di sini malam tadi.

Antara persembahan yang disajikan sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Sarawak semalam.

Antara persembahan yang disajikan sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Sarawak semalam.

Majlis yang dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud bersama-sama isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib.

Menurut Pengarah Unit Protokol dan Perhubungan Awam Negeri, Jabatan Ketua Menteri, Datuk Khir Haji Busrah, kerjasama yang utuh dan semangat dedikasi daripada semua pihak menjadi satu elemen yang penting bagi memastikan acara ini berjalan dengan lancar.

“Sesungguhnya Hari Malaysia amat dinanti-nantikan oleh semua lapisan masyarakat khususnya warga Sibu kerana sambutan kali ini merupakan kesinambungan kepada sejarah penubuhan negara,” katanya.

Menurut seorang pengunjung, Norita Abit, 32, pengalaman pertama kali menyaksikan sambutan Hari Malaysia cukup menerujakan.

“Biarpun cuaca tidak mengizinkan dengan hujan renyai-renyai sehingga basah, saya tetap juga menunggu untuk melihat dan meraikan sambutan Hari Malaysia kerana sebelum ini cuma mendengar dan menonton di televisen sahaja maka malam ini saya sendiri datang memberi sokongan.

“Saya bersyukur dan kagum melihat serta amat berbangga menjadi anak Malaysia kerana dapat hidup dalam keadaan aman dan damai,” ujarnya.

-SH/AAS

Tinggalkan komen anda