Skip to main content
Berita TempatanSabah

Bapa Berdebar Sambut Bayi Merdeka

By 2 September 2017Tiada komen2 minit bacaan

Laporan: Fauzrina Bulka / Foto: Mohd Khairul Abdul Latif (Sabah)

KOTA KINABALU, 2 Sep (Malaysiaktif) – Suatu pengalaman yang sangat berharga dan mendebarkan buat Mohd Khairul Abd Latif, 30, dapat menemani isteri di bilik bersalin bersama-sama menyambut kelahiran anak kedua mereka tepat 10.40 pagi pada Khamis.

Isterinya, Suriaini Kassim, 28, selamat melahirkan bayi perempuan yang juga anak merdeka sempena tarikh keramat 31 Ogos di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak, Likas di sini pada Khamis.

“Sebenarnya bayi saya mahu keluar malam tadi, tapi saya bisik padanya supaya tunggu dulu sehingga tarikh 31 Ogos supaya menjadi salah seorang anak merdeka, mujur bayi dengar cakap saya,” ujar Khairul berseloroh.

Menurutnya, beza tujuh tahun kelahiran kedua-dua anaknya membuatkan dia agak resah dan teruja bercampur-baur ditambah lagi ketika dibenarkan untuk turut serta dalam bilik bersalin.

“Pengalaman ketika itu memang sangat teruja, sebab memang teringin juga hendak lihat sendiri kelahiran bayi saya tetapi selepas itu saya seolah-olah dapat merasai kesengsaraan isteri saat melahirkan,” ujarnya.

Menurutnya, pengalaman tersebut dapat mengajarnya tentang perjuangan para ibu untuk melahirkan anak ditambah kesengsaraan mereka selama lebih sembilan bulan mengandung.

Jainab(empat depan dari kanan) bersama Janet KL Chee(lima depan dari kanan), Masnah(enam depan dari kanan), Dr. Tan Bee Hwai(empat dari kiri)

Jainab (empat depan dari kanan) turut sama meraikan bayi merdeka.

“Saya sarankan para lelaki, bapa-bapa juga bakal bapa jika berpeluang lihatlah isteri anda bersalin secara langsung supaya kita kaum lelaki tahu menilai betapa tinggi darjat kaum wanita ini sebenarnya,” katanya.

Tambahnya, dia yakin tiada seorang pun antara kaum adam yang sanggup merasakan kesakitan yang sama seperti yang kaum hawa rasakan.

“Hargailah wanita, cuba fahami apa yang mereka inginkan dan cuba belajar mengambil berat, bagi saya itu ialah salah satu pengalaman yang terlalu mahal tapi amat berbaloi,” katanya.

Sementara itu, sehingga 3.00 petang Khamis, seramai 21 bayi merdeka iaitu 11 bayi lelaki dan 10 bayi perempuan selamat dilahirkan di Hospital Wanita dan Kanak-kanak, Likas.

Turut meluangkan masa menziarahi bayi dan ahli keluarga, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid.

SF

Tinggalkan komen anda