Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeKuala LumpurWilayah Persekutuan

Penindasan Rohingya Perlu Dihentikan – MAPIM

By 21 September 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan Foto oleh: Norhazlinawati Mat & Nornisah Khairoji (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Malaysiaaktif) – Bagi menangani isu Rohingya, sidang Mesyuarat Strategi bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO) serantau akan diadakan pada 2 hingga 3 Oktober 2017 di Pusat Belia Antarabangsa, di sini.

Dijangka lebih 200 peserta daripada NGO nasional, serantau dan antarabangsa akan menyertai sidang mesyuarat anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Pusat Belia Antarabangsa (IYC) ini.

Menurut Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid, wakil organisasi akan membincangkan pelbagai aspek dan tindakan strategik bagi membantu etnik Rohingya seperti misi kemanusiaan, mobilisasi massa, kempen media, tekanan antarabangsa serta tindakan undang-undang.

“Antara agenda sidang tersebut meliputi perkembangan semasa di Arakan dan Bangladesh, analisis krisis di Myanmar, pembentangan pengalaman NGO kemanusiaan dan advokasi dalam usaha menangani isu Rohingya.

“Dianggarkan lebih 20,000 pelarian dari Myanmar menyeberangi Sungai Naf dan juga menggunakan jalan darat untuk memasuki Bangladesh setiap hari bagi mendapatkan perlindungan. Kita perlu lakukan sesuatu bagi meringankan kesengsaraan mereka,” jelas Mohd Azmi pada sesi sidang media, di sini hari ini.

Sidang Media sempena Penganjuran Mesyuarat Strategi NGO Serantau bagi menangani isu Rohingya

Sidang Media sempena Penganjuran Mesyuarat Strategi NGO Serantau bagi menangani isu Rohingya

Sementara itu, Setiausaha Agung MBM, Ahmad Saparudin Yusup, menyeru semua NGO agar berganding bahu dalam menyumbang kepada penyelesaian krisis kemanusiaan dan penindasan etnik minoriti Rohingya yang memerlukan perhatian dunia.

Sesi sidang media yang diadakan sempena Hari Keamanan Sedunia ini turut dihadiri oleh Eksekutif Bahagian Program IYC, Marzuki Hashim.

Video kesengsaraan pelarian Rohingya turut ditayangkan

Video kesengsaraan pelarian Rohingya turut ditayangkan

– AH

Tinggalkan komen anda