
Laporan dan Foto oleh: Nornisah Khairoji & Hairidz Fahmi Abd Hamid (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 14 Sept (Malaysiaaktif) – “Bersatu padu adalah kekuatan kita,” kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam ucapannya ketika merasmikan Festival Hari Malaysia Wilayah Persekutuan 2017 di Busana MARA, di sini hari ini.
“Perpaduan amat penting di negara kita yang masyarakatnya berbilang kaum agar keamanan yang kita nikmati selama 60 tahun ini terus dipelihara,” tegas Tengku Adnan.
Menurut beliau, program seumpama ini dapat menyemai semangat patriotik dan rasa cinta akan negara, khususnya dalam diri generasi muda masa kini yang akan menjadi tunggak kepimpinan negara.
Program seharian ini padat dengan pengisian menarik seperti tarian kebudayaan negeri Sabah dan Sarawak, tarian inang, zapin serta tarian songket yang turut melibatkan murid sekolah rendah.
Selain itu, program dimeriahkan lagi dengan persembahan Kumpulan Buskers Negaraku yang menyampaikan lagu-lagu patriotik sempena Hari Malaysia yang bakal disambut pada 16 September ini.
Program ini juga menampilkan artis-artis tempatan terdiri G-Mie Screen, Ara (AF), Sufi (AF), Adira, Alia Lalakland serta Asad Motawh yang memeriahkan suasana di Busana MARA.

Antara atlet SEA Games yang hadir, dari kiri: An Najwa Azizan, Shandralelka Shanmugan dan
Noramirah Dayan Noor Azhar
Penampilan atlet Sukan SEA KL2017 dalam program ini turut menjadi satu platform alternatif untuk berkongsi pengalaman dan aspirasi bersama orang ramai, khususnya generasi muda yang berminat berkecimpung dalam bidang sukan.
Dalam pada itu, Tengku Adnan turut menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat yang terbakar awal pagi tadi.
Program yang julung kali diadakan ini merupakan anjuran Biro Tatanegara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan sekitar Kuala Lumpur.
– AH