Skip to main content
Berita TempatanSabah

Pesakit Kanser Kembara Borneo Dengan RM1

By 2 September 2017September 3rd, 2017Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
Laporan & Foto: Fauzrina Bulka (Sabah)

TAWAU, 2 Sep (Malaysiaaktif) – Dengan berbekalkan beban seberat 15kg digalas di belakangnya, lesen, kad pengenalan dan wang tunai RM1, Mohd Zaki Yamani Azman, 28, tiba di daerah ini pada Selasa untuk memulakan pengembaraan solo ke seluruh Borneo.

Pesakit Kanser Hodgkin Lymphoma Tahap 3 atau kanser darah ini berharap masyarakat tidak salah anggap dengan misi yang dilakukannya kerana baginya duit bukan ukuran perjalanan.

Zaki tiba di Tawau dan menunjukkan tanda nama destinasi seterusnya iaitu Semporna.

Zaki tiba di Tawau dan menunjukkan tanda nama destinasi seterusnya iaitu Semporna.

“Ramai orang tidak boleh bergerak jauh sebab fikirkan duit, saya pun beranggapan yang sama dahulu, namun kini telah berubah kerana tanpa duit pun kita boleh hidup,” katanya.

Anak bongsu daripada lima beradik ini berasal dari Jerantut, Pahang didiagnos menghidap kanser pada Julai 2014 apabila dikesan terdapat bengkak di belakang lehernya.

“Sebenarnya pada Mei 2015 saya dapat tahu kanser saya sudah lenyap tetapi muncul kembali pada Januari 2016 dan saya maklum jika membuat transplan, saya perlu berehat selama tempoh enam bulan hingga ke setahun.

“Justeru, saya mengambil keputusan membuat sesuatu untuk diri saya dan itu yang membawa saya ke program Hitch Hike ini yang diinspirasikan daripada rakan dari Finland yang pernah menumpang di rumah saya kerana mengembara,” jelasnya yang mendapat sokongan utama daripada ibu dan bapanya.

Zaki tidak mahu orang berfikir pesakit kanser hanya perlu berehat di rumah sahaja.

Zaki tidak mahu orang berfikir pesakit kanser hanya perlu berehat di rumah sahaja.

Menurut Zaki, sebelum dia memulakan Hitch Hike ini dia membuat kajian tempat-tempat yang perlu dilawati terlebih dahulu, selain bersiap sedia dari segi fizikal dan mental.

“Untuk kecemasan, saya memang telah sediakan barang keperluan termasuk khemah, bekas makanan dan cawan serta buaian rajut jika keadaan memerlukan saya untuk bermalam di luar,” katanya.

Jika ada rezeki, Zaki akan bermalam di rumah penduduk yang mempelawanya serta diberi makanan sebelum dia meneruskan lagi perjalanan keesokan harinya.

“Manisnya rakyat Malaysia, tinggi dengan budi pekerti, setiap perjalanan saya mendapat sambutan sama ada daripada yang dikenali atau tidak.

“Tidak pernah saya ditimpa sakit, bermasalah dengan tempat tinggal atau kekurangan makanan, paling lama saya pernah menunggu selama 55 minit sebelum ada yang sudi tumpangkan saya ke destinasi seterusnya,” ujarnya yang mendapat bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan RM100 daripada Majlis Kanser Nasional(MAKNA).

Menurutnya, projek solonya ini juga sebagai satu latihan untuk Misi Jelajah Dunia yang dirancangnya pada Mac 2018, sekali gus menguji kelebihan dan kekurangan yang ada pada dirinya untuk penambahbaikan.

“Saya suka berkawan, berjalan, belajar perkara baharu, suka buat apa yang orang jarang buat dan paling penting suka mendalami budaya dan ke sesuatu tempat yang saya tidak pernah pergi,” katanya.

Menurut Zaki, sudah lama dia cuba tukar pandangan masyarakat dengan caranya sendiri dengan melakukan sesuatu perkara yang ekstrem.

“Saya tidak mahu orang berfikir pesakit kanser hanya perlu berehat di rumah dan pergi hospital menunggu masa untuk mati, banyak lagi sebenarnya yang boleh kita lakukan dan saya lebih ke arah inspirasi dan motivasi,” katanya yang tiba di pekan Semporna pada Khamis petang.

-SF

Tinggalkan komen anda