Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

36 Pelajar Terima Biasiswa Yayasan Sarawak Tun Taib

By 21 September 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan dan foto : Mohd Baharruddin Mohamad/Jaed Tepus (Sarawak)

KUCHING,21 Sept (Malaysiaaktif) – Seramai 36 penerima biasiswa, terdiri daripada 32 orang pelajar peringkat ijazah pertama, dua pelajar sarjana dan dua pelajar ijazah kedoktoran (PhD) dipilih sebagai kumpulan pertama penerima biasiswa Yayasan Sarawak Tun Taib hari ini.

Bernard a/k Maringgal, 33, pelajar jurusan PhD Kejuruteraan Proses Pertanian, Universiti Putra Malaysia nekad untuk membangunkan pertumbuhan ekonomi dalam bidang pertanian di negeri ini selepas tamat pengajian nanti.

“Saya berasa bersyukur dan berterima kasih di atas biasiswa yang diberikan ini dan berjanji akan meneruskan prestasi cemerlang selaras dengan hasrat kerajaan negeri yang menjadikan teknologi dan ekonomi digital sebagai pemangkin untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi di Sarawak,” jelasnya.

Tun Abdul Taib turut menyatakan sokongan kepada Yayasan Sarawak dan menyarankan agar institusi tersebut terus menawarkan program-program yang lebih baik untuk pembangunan bidang pendidikan di negeri ini.

Abdul Taib Mahmud (dua dari kanan) menyampaikan Biasiswa Yayasan Sarawak Tun Taib kepada Bernard Maringgal (kanan), pelajar PhD Kejuruteraan Proses Pertanian, Universiti Putra Malaysia.

Abdul Taib Mahmud (dua dari kanan) menyampaikan Biasiswa Yayasan Sarawak Tun Taib kepada Bernard Maringgal (kanan), pelajar PhD Kejuruteraan Proses Pertanian, Universiti Putra Malaysia.

“Semua kaum di negeri ini termasuk golongan minoriti seharusnya tidak ketinggalan dalam bidang pendidikan terutama pelajar-pelajar di kawasan luar bandar. Oleh itu Yayasan Sarawak memainkan peranan yang sangat penting untuk melahirkan modal insan yang cemerlang sebagai generasi peneraju Sarawak pada masa akan datang,” jelasnya selepas menyampaikan biasiswa di Dewan Besar, Astana Negeri di sini.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Yayasan Sarawak, Zamahari Haji Saidi, biasiswa ini menggabungkan dua jenis biasiswa yang telah diperkenalkan masing-masing sejak tahun 2010 dan 2016 lagi.

“Sejak skim Biasiswa Bestari dan Biasiswa Cemerlang diperkenalkan, seramai 98 pelajar telah menerima manfaat daripada  kedua-dua biasiswa berkenaan, dan kini akan menjadi pelajar tajaan dibawah Biasiswa Sarawak Tun Taib,” jelasnya.

Antara matlamat utama biasiswa ini diperkenalkan adalah sebagai menghargai sumbangan Tun Abdul Taib Mahmud dalam pendidikan tinggi di negeri ini terutamanya penubuhan Institusi pendidikan tinggi seperti cawangan Curtin University, Swinburne University, dan Kolej Laila Taib.

“Biasiswa ini merupakan satu galakan kepada pelajar yang berjaya mencapai keputusan akademik yang cemerlang, di samping memastikan pelajar berkenaan dapat diserap sebagai penjawat awam setelah tamat pengajian nanti,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Ketua Seksyen Biasiswa, Ratnasari Mansor menjelaskan biasiswa ini terbuka kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah pertama di institusi pengajian tinggi di cawangan Curtin University Malaysia Sarawak, Swinburne University of Technology Sarawak, University College of Technology Sarawak, Universiti Teknologi Mara, dan University Malaysia Sarawak.

“Di peringkat ijazah lanjutan, ianya terbuka kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana mahupun PhD serta menjalankan penyelidikan di institusi pengajian tinggi tempatan atau luar negara secara sepenuh masa.

“Pelajar yang layak akan disenarai pendek dan melalui proses temuduga oleh panel Yayasan Sarawak, dan penerima biasiswa dikehendaki untuk memastikan prestasi akademik mereka terus cemerlang setiap semester untuk mengelakkan biasiswa menjadi pinjaman,” katanya.

-SH

Tinggalkan komen anda