Skip to main content
Berita TempatanSabah

CTU Ceriakan Masyarakat Luar Bandar

By 23 Oktober 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan: Yahya Abdul Rajak / Foto: Abdullah Sani Ariff Lokhman (Sabah)

TAWAU, 23 Okt (Malaysiaaktif) – Seramai lebih 2000 penduduk luar bandar di Kampung Inderasabah kini semakin mudah dihubungi sama ada melalui talian komunikasi mahupun Internet hasil pembinaan sebuah menara pemancar telekomunikasi di kampung tersebut.

Pembinaan menara pemancar telekomunikasi di kampung berkenaan turut dinikmati kampung Juragan, kampung Wakuba dan Kampung Balung Cocos.

Presiden, Majlis Perbandaran Tawau, Alijus@ Mohd Ali Sipil berkata pembinaan menara telekomunikasi ini secara tidak langsung membolehkan penduduk Kampung Inderasabah dan kampung-kampung lain di sekitarnya menikmati kemudahan perhubungan dalam talian Internet dengan lebih baik.

Joseph Pang menyampaikan ucapan mewakili Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Alijus@ Mohd Ali Sipil.

Joseph Pang menyampaikan ucapan mewakili Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Alijus@ Mohd Ali Sipil.

“Kemudahan ini turut membolehkan penduduk kampung berhubung antara satu sama lain dengan lebih pantas.

“Selain itu, kemudahan tersebut mampu meningkatkan jalinan dan jaring kerja bagi menjana pendapatan penduduk dengan lebih mudah”.

Alijus berkata demikian semasa merasmikan Program Menghubung dan Menyatu (CTU) di kampung Inderasabah pada Sabtu.

Teks ucapannya dibacakan oleh Setiausaha Majlis Perbandaran Tawau, Joseph Pang.

Jelas Alijus lagi, CTU yang diadakan di kampung terbabit pastinya bakal mengubah kehidupan penduduk yang terkenal dengan produk ikan bilis serta kampung-kampung lain di sekitarnya.

“Pembinaan menara ini pastinya membolehkan penduduk kampung luar bandar menikmati kemudahan perkhidmatan dalam talian yang membolehkan mereka dapat menjalankan perniagaan dalam talian.

Tambahnya, ini membolehkan penduduk memperoleh pelbagai maklumat dengan pantas dan semasa.

“Selain itu, menerusi aspek penyiaran digital penduduk tidak lagi ketinggalan apabila seramai lima asnaf terpilih turut menerima sumbangan televisyen dan rekoder astro NJOI.

Penerima sumbangan televisyen dan rekoder Astro Njoi, Jahara Mahamod (empat dari kanan) bersama Joseph (dua dari kanan) dan Shukor (tiga dari kanan).

Penerima sumbangan televisyen dan rekoder Astro Njoi, Jahara Mahamod (empat dari kanan) bersama Joseph (dua dari kanan) dan Shukor (tiga dari kanan).

“Sumbangan ini membolehkan keluarga terbabit menerima pelbagai siaran dan dapat mengikuti perkembangan semasa dalam negeri mahupun dunia luar dalam sekelip mata,” ujarnya.

Alijus yakin dengan adanya kemudahan ini penduduk luar bandar di kawasan terbabit akan menjadi sebuah masyarakat bermaklumat serta terhubung antara satu sama lain.

“Sesungguhnya program menghubung dan menyatu ini membawa manfaat besar dan berterusan dalam meningkatkan kesejahteraan hidup penduduk setempat,” jelas Alijus lagi.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Sumber Manusia Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Shukor Mahmood turut berkata pihak kementerian sentiasa komited menyediakan pelbagai kemudahan dalam usaha memastikan masyarakat luar bandar terus dapat berhubung dan menerima pelbagai maklumat semasa.

“Kerajaan sememangnya sedar seramai lebih sejuta masyarakat luar bandar masih tidak menerima capaian Internet, siaran televisyen dan sebagainya.

“Sehubungan itu, kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) berusaha menghubung masyarakat luar bandar dengan menyediakan kemudahan seperti talian Internet, pemberian rekoder siaran televisyen sebagai asas menyatukan masyarakat luar bandar agar dapat membangun bersama seiring kepesatan pembangunan negara.

Tambahnya, diharap dengan adanya kemudahan di kampung ini akan dapat meningkatkan pengetahuan maklumat serta menjana ekonomi penduduk menggunakan pemasaran dalam talian.

Para penerima sumbangan televisyen dan rekoder Astro Njoi.

Para penerima sumbangan televisyen dan rekoder Astro Njoi.

“Namun ibu bapa dan masyarakat juga perlu sentiasa memantau penggunaan Internet dalam kalangan belia agar tidak menggunakan kemudahan ini bagi menyebar maklumat tidak sahih kerana pihak KKMM sentiasa memantau penyalahgunaan tersebut,” jelasnya.

Dalam pada itu, penerima sumbangan, Naran Abdul Amin ketika ditemui menyatakan rasa terima kasih atas pemberian sumbangan berupa sebuah televisyen dan rekoder Astro Njoi berserta barangan dapur pada program tersebut.

“Sejak suami saya tiada, saya merasa sunyi dan tiada tempat melemparkan rasa kesunyian tinggal berseorangan di rumah yang serba serbi kekurangan apatah lagi radio mahupun televisyen.

“Dengan pemberian televisyen dan rekoder astro Njoi ini membolehkan saya gembira dan terhibur, apa yang lebih penting saya tidak lagi kesunyian kerana pelbagai maklumat dan rancangan boleh saya tonton sebagai penghilang duka,” katanya selepas menerima sumbangan berkenaan di rumahnya.

-SF

Tinggalkan komen anda