Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Kejohanan Piala Sarawak Pentas Pencarian Bakat Baharu

By 23 Oktober 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Β Laporan dan foto : Mohd Baharruddin Mohamad (Sarawak)

MUKAH, 23 Okt (Malaysiaaktif) – Kejohanan Bola Sepak Piala Sarawak 2017 akan kembali menemui peminat bola sepak tempatan pada 4 hingga 12 November ini, di tiga venue utama iaitu Stadium Mini Mukah, Padang UiTM, Kampus Mukah dan Padang Mesra Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM).

Menurut Timbalan Presiden, Persatuan Bola Sepak Mukah, Sarjan Ajahar Bakar, kejohanan tahunan anjuran badan induk Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) itu merupakan pentas dalam mencari selain mengenal pasti bakat baharu untuk menyertai skuad negeri, Piala Presiden dan Piala Belia.

“12 buah pasukan akan turut serta bagi saingan memburu gelaran dalam kejohanan kali ini yang disertai pasukan Bahagian Mukah selaku tuan rumah, Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang.

“Saingan peringkat kumpulan akan dimulakan pada 5 November. Peringkat suku dan separuh akhir masing-masing pada 8 dan 9 November, manakala aksi penentuan tempat ketiga pada 10 November dan perlawanan akhir pula akan dilangsungkan pada 11 November bertempat di Stadium Mini Mukah,” jelasnya ketika ditemui meninjau venue perlawanan di Stadium Mukah, di sini, kelmarin.

Menurut Ajahar lagi, sebanyak empat buah padang disediakan bagi sesi latihan dan pemanas badan iaitu Padang Pehin SetiaRaja, Padang KPS, Padang Hospital, dan Padang Politeknik, di sini.

Kali terakhir Mukah menjadi tuan rumah kejohanan ini 28 tahun dahulu iaitu pada tahun 1989 yang sekaligus menyaksikan tuan rumah bergelar juara setelah mengalahkan Miri 1-0 dalam perlawanan akhir ketika itu.

-SH

Tinggalkan komen anda