
Laporan dan foto : Nur Faezah Salam / Parno Salamat (Sarawak)
KUCHING, 23 Nov (Malaysiaaktif) – Hadhari Global Network (HGN) yang baharu dilancarkan semalam memartabatkan prinsip-prinsip peradapan Islam, iaitu kesederhanaan, kesejahteraan sosial dan kewujudan bersama.
Menurut Setiausaha Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi, Dr Muhammad Hakimi Mohd Shafiai, melalui HGN prinsip peradapan Islam dapat dipromosikan selain membantu memudahkan perangkaian antara ahli akademik, pengamal, dan lain-lain dalam memperkayakan pengetahuan dan memajukan penyelidikan kolaboratif ketamadunan Islam.

Awang (tengah) menyempurnakan gimik perasmian HGN. Turut kelihatan Jefridin (kanan) dan Abu Bakar (kiri).
“Pertubuhan ini merupakan jawatankuasa induk yang berfungsi untuk menganjurkan program bersifat ilmiah dan advokasi seperti syarahan umum, forum, dan bicara negarawan berkaitan legasi kepimpinan Tun Abdullah, mantan Perdana Menteri kelima.
“Antara legasi utama Tun Abdullah semasa menjadi Perdana Menteri adalah Islam Hadhari, Pembangunan Modal Insan, Integriti, Misi Nasional dan Halal Industri yang mana legasi ini tetap relevan merentasi masa walaupun beliau tidak lagi memegang jawatan pentadbiran dalam negara,” ujar Hakimi ketika berucap di Pusat Konvensyen Borneo Kuching sempena Majlis Pelancaran Hadhari Global Network, semalam.
Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi merupakan urusetia kepada Hadhari Global Network (HGN) yang didaftarkan secara rasmi 4 September tahun lalu.
Majlis Pelancaran Hadhari Global Network dan Forum bertajuk, ‘Hadhari Approach: Reviralizing Global Network’, telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan
Turut hadir, Pengarah Urusan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Foundation, Datuk Syed Abu Bakar Almohdzar dan Pengerusi Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Jefridin Atan.