Skip to main content
Berita TempatanNegeri Sembilan

Dewan Bedah Hospital Jempol Mula Dibuka

By 8 November 2017Tiada komen2 minit bacaan

Laporan & Foto: Ramasamy Amas

JEMPOL, 8 Nov (Malaysiaaktif)-Selepas 12 tahun beroperasi, Hospital Jempol menempa sejarah dengan membuka Perkhidmatan Dewan Bedah petang semalam.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Kesihatan, Datuk Shamsulkahar Md Deli, pembukaan dewan bedah yang menelan kos RM260 ribu akan memberi perkhidmatan pembedahan mata dan tulang.

“Seramai empat orang doktor pakar akan memberi perkhidmatan pembedahan mata dan tulang di Hospital Jempol mulai hari ini (semalam).

“Terdapat lima agenda Perluasan Perkhidmatan Kesihatan di Negeri Sembilan buat masa ini iaitu Perluasan Perkhidmatan Kepakaran Melalui Hospital Kluster Hospital Jempol dan Hospital Tampin, Perkhidmatan Pakar Perubatan Keluarga ke Luar Bandar, Perluasan Pencapaian Perkhidmatan Klinik seperti Klinik 1Malaysia, Klinik bergerak dan klinik Pakar Bergerak (Klip Mobile), Dasar Kesihatan Negeri Sembilan (Aedes) dan akhirnya Projek Pembangunan RMK (Daerah Jempol).

Pameran Hari Terbuka Hospital Jempol

Pameran Hari Terbuka Hospital Jempol

“Perluasan Perkhidmatan Kepakaran Hospital Kluster dimulakan pada 2016 melibatkan tiga buah Hospital iaitu Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah (HTAN) sebagai ‘Lead Hospital’ sementara Hospital Tampin dan Hospital Jempol sebagai ‘Non Lead Hospital’,” jelasnya yang juga merupakan ADUN Serting.

Tambahnya, tujuan utama adalah untuk perkongsian sumber yang merangkumi kemudahan fasiliti, peralatan, tenaga kerja dan kepakaran di ketiga–tiga hospital ini dapat dioptimumkan selain dapat mengurangkan kesesakan di wad dan klinik pakar serta mengurangkan masa menunggu pembedahan yang lama disebabkan pertambahan pesakit.

“Pelaksanan Hospital Kluster HTAN ini telah meningkatkan kadar penggunaan katil di Hospital Tampin sebanyak 10% dan Hospital Jempol sebanyak 25% pada tahun sebelumnya. Masa menunggu pembedahan katarak di HTAN pula telah berjaya diturunkan daripada purata sembilan minggu pada 2015 kepada enam minggu pada  2016.

“Bagi Projek Pembangunan RMK (Daerah Jempol), pembinaan Klinik Kesihatan Palong 7, 8 lawatan tapak untuk tender telah dilakukan pada 31 Oktober 2017 yang melibatkan kos RM35 juta manakala Klinik Kesihatan Seri Rompin lawatan tapak dan tender telah dilakukan pada 18 April 2017 dengan kos pembinaan RM39 juta. Kedua-dua projek akan disiapkan dalam dua tahun lagi,” katanya.

Antara pesakit yang baru sahaja selesai menjalani pembedahan mata.

Antara pesakit yang baru sahaja selesai menjalani pembedahan mata.

Sementara itu, Pengarah Hospital Jempol, Dr. Mohd Zulfah Mohammad berkata sempena dengan pembukaan dewan bedah ini seramai 10 pesakit mata telah berjaya dibedah.

“Walaupun kos pembedahan katarak melibatkan kos RM700 setiap pesakit tetapi  hari ini setiap pesakit hanya dibayar RM100 sahaja manakala yang selebihnya ditanggung oleh pihak hospital.

“Perkhidmatan kepakaran ortopedik di Hospital Jempol akan beroperasi setiap minggu iaitu sebanyak empat kali sebulan manakala pembedahan katarak mata akan dilakukan setiap hari Rabu sementara pemeriksaan mata akan diadakan pada setiap Selasa dan Khamis,” ujarnya.

Tinggalkan komen anda