Skip to main content
Berita TempatanSabah

Jolyn, Ronnie Ungguli Borneo Safari 2017

By 7 November 2017November 9th, 2017Tiada komen3 minit bacaan

Laporan: Asmidar Zainol / Foto: Azman Jumat (Sabah)

KOTA KINABALU, 7 Nov (Malaysiaaktif) – Sukarelawan kumpulan perubatan, Dr Jolyn Ngo Fong Ling, 29, dan peserta Kelab Pacuan Empat Roda Penampang, Ronnie Thonblon, 32 dinobatkan sebagai penerima anugerah The Borneo Safari Jungle Women dan The Borneo Safari Jungle Man 2017.

Anugerah disampaikan pada Majlis Penutup 27th Borneo Safari International Off Road Challenge 2017 di Dewan Hakka pada Ahad malam.

Jolyn bersama anugerah yang diterimanya.

Jolyn.

Bagi Jolyn, dia amat terkejut kerana tidak menyangka dinobatkan sebagai penerima anugerah tersebut kerana dia bukan bekerja berseorangan tetapi sentiasa bekerjasama dengan pasukan.

“Sebagai sukarelawan medik, kami sentiasa bersama dengan para peserta dan saya sendiri sentiasa bergaul dengan mereka bukan sahaja bagi memberi perkhidmatan kecemasan tetapi turut belajar sesuatu daripada mereka ini.

“Banyak yang saya dapat pelajari dan merasai pengalaman yang tidak pernah saya lalui antaranya belajar cara untuk mengambil rotan hutan, belajar tentang tayar kenderaan, menukar minyak kenderaan, mandi dan menukar pakian menggunakan kain batik dan lain-lain lagi.

“Antara pengalaman yang tak dapat dilupakan ialah buat pertama kalinya saya membantu menarik dan memasang win bagi menarik kenderaan yang terperangkap semasa melalui halangan.

“Nampak mudah tetapi tidak sebenarnya sehinggakan masih lagi terasa sengal-sengal di lengan saya,” kongsinya sambil ketawa.

Selain itu, Jolyn turut memberi bantuan kepada peserta yang mengalami kecederaan kebakaran akibat daripada tumpahan minyak panas.

“Semasa dalam kem ini, terdapat kes kemalangan terbakar akibat minyak panas di peha salah seorang peserta, jadi saya dan kumpulan memberikan bantuan kecemasan kepada peserta tersebut.

“Antara masalah lain yang dihadapi oleh para peserta ialah alergi daripada serangga seperti agas, luka-luka kecil dan ada kes istimewa iaitu jangkitan telinga,” kongsinya.

Joly turut berkongsi tip kepada bakal peserta yang ingin menyertai ekspedisi berkenaan.

“Datang dengan fikiran yang terbuka, jangan mengharapkan semuanya sempurna, memang pada awalnya anda akan berasa susah tetapi kena cepat membiasakan diri dan semuanya akan menjadi mudah dan dapat membuka dimensi dunia baharu kepada anda.

“Perkara yang paling saya rindukan ialah sikap profesional dan bekerjasama sebagai pasukan dan seterusnya menjadikan setiap ahli perserta ekspedisi seperti sebuah keluarga yang besar,” kongsinya.

Ronnie

Ronnie

Sementara itu, bagi Ronnie, pengalaman menyertai Borneo Safari selama empat tahun memberi kesedaraan kepadanya untuk sentiasa mengambil inisiatif untuk memberi bantuan tenaga sekiranya diperlukan.

“Sejujurnya, saya tidak pernah memikirkan untuk mendapatkan pengiktirafan ini, Semasa ekspedisi, saya dan rakan-rakan memberikan bantuan sebaik mungkin kepada kenderaan-kenderaan yang memerlukan winching, membuka jalan baharu, meratakan jalan dan sebagainya.

“Pada saya, setiap peserta perlu mewujudkan sikap berpasukan dan setia kawan tanpa mengira sama ada kita kenal atau tidak mereka itu dengan niat setiap kenderaan perlu keluar dalam keadaan selamat dalam masa yang ditentukan.

“Kita juga perlu melatih diri untuk sentiasa mengambil inisiatif sendiri dan tidak menunggu arahan daripada orang lain,” jelasnya.

Bagi pemenang utama cabaran Special Stage (SS), Koo Foi Loong, 37, dia amat teruja kerana berjaya memenangi pertandingan SS selepas dua kali mencuba nasib.

“Perasaan sangat gembira kerana berjaya memenangi SS pada tahun ini, yang mana ia adalah comeback selepas menyertai pertandingan yang sama pada tujuh tahun lalu.

. Koo (enam dari kiri) bersama William (lima dari kanan) bergambar bersama tetamu kehormat pada malam tersebut selepas diumumkan sebagai pemenang cabaran Special Stage Borneo Safari 2017.

Pemenang cabaran Special Stage Borneo Safari 2017, Koo (enam dari kiri) bersama William (lima dari kanan)

“Saya dan pembantu pemandu, Wiliam Thien, 30, membuat persediaan dan berlatih sepanjang tahun 2015 sebagai persediaan menyertai pertandingan ini.

“Sejak tahun lepas, saya mengubah suai kenderaan dan banyak memasuki acara amatur sebagai latihan kami berdua,” katanya yang mewakili Kelab Pacuan Empat Roda Keningau.

Koo dan William membawa pulang hadiah bernilai RM47,142, tempat kedua dimenangi oleh Liew Siak Kiang dan Pun Cheng Vui menerima hadiah bernilai RM20,496 manakala tempat ketiga membawa pulang hadiah bernilai RM15,502 yang dimenangi oleh Tham Vun Pin dan Lesun B Lee Siong @ Victor.

Senarai penerima hadiah lain:

  1. The Borneo Safari The Best Team Spirit Award-Tim Ranau Tag On
  2. The Borneo Safari Environmental Award-Scout Team
  3. The Borneo Safari Foul Up Of The Year Award-Mohd Harris Abd Ghani
  4. The Borneo Safari Vehicle Of The Year Award, Baharuhom Sogon
  5. The Borneo Safari Furtherst Overlander Of The Year Awards, Suwandi Tanrin daripada Samarinda Kalimatan Timur yang memandu sejauh 3,500kilometer selama enam hari tanpa henti menggunakan kenderaan Mercedes G-Wagon.

 

Tinggalkan komen anda