Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Tangguh Pengajian Setahun Urus Bapa Sakit

By 7 November 2017Tiada komen1 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Aishah Latip / Jaed Tepus (Sarawak)

SAMARAHAN, 7 Nov (Malaysiaaktif) – “Walaupun lambat menerima ijazah, apa yang penting ayah saya kembali sihat,” luah Nawal Syakilla Rahim, 26, graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Gunaan dengan kepujian (Teknologi Seni Reka) yang menangguhkan pengajiannya selama setahun demi menjaga ayahnya yang menghidap penyakit strok.

Pengorbanan Nawal akhirnya berhasil apabila berjaya menggenggam segulung ijazah pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) ke-21, siang tadi.

Nawal (tengah) bersama-sama ibu dan bapanya di dalam majlis Konvokesyen UNIMAS ke-21, di sini.

Nawal (tengah) bersama-sama ibu dan bapanya di dalam majlis Konvokesyen UNIMAS ke-21, di sini.

Nawal bersyukur kerana dapat menamatkan pengajian dan yang lebih utama, kesihatan bapanya bertambah baik.

“Alhamdulillah ayah sudah pun sihat sekarang dan saya berjaya menamatkan pengajian ini walaupun mengambil masa selama lima tahun,” jelas anak sulung daripada lima beradik ini.

Sementara itu, Rahim Abdul Karim, 55, ketika ditemui terharu dengan pengorbanan anaknya kerana sanggup menangguhkan pengajiannya.

“Saya gembira anak saya akhirnya dapat menghabiskan pengajian setelah sekian lama. Dia banyak berkorban menjaga saya semasa di Hospital Kuala Lumpur dan Pusat Rehabilitasi Cheras bagi menjalani sesi fisioterapi,” kata bekas guru yang pernah terkena strok tiga tahun lalu.

Majlis penyampaian ijazah hari ini menyaksikan seramai 1575 graduan dari Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, dan Fakulti Kejuruteraan menerima ijazah yang disempurnakan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg merangkap Pro Canselor UNIMAS yang baharu dilantik semalam.

– SH/AAS

Tinggalkan komen anda