Skip to main content
Berita TempatanHomeKuala LumpurWilayah Persekutuan

Najib Terima Anugerah Kepimpinan Global MSMW 2017

By 9 November 2017Tiada komen2 minit bacaan

Laporan oleh: Parameswary Lekshmnan & Norlydiana Ishak / Foto: Farhan Abdullah

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dianugerahkan Anugerah Kepemimpinan Global dalam Pembabitan Media Sosial sempena Minggu Media Sosial Malaysia (MSMW) 2017 semalam.

Menurut Pengasas dan Presiden Dewan Sosial Media Malaysia (SMC), Shahul Dawood Hameed anugerah tersebut sebagai penghargaan kepada beliau dalam menggerakkan industri digital Malaysia dengan pelbagai inisiatif di peringkat global.

“Najib Razak mempunyai 3.8 juta pengikut di Twitter, 3.3 juta pengikut di Facebook dan 337,000 pengikut di Instagram setakat ini.

“Penglibatan aktif Perdana Menteri dalam laman media sosial menjadikannya  role model penting kepimpinan zaman digital kini,” ujarnya.

Najib ketika ditemui semalam.

Najib ketika ditemui semalam.

Sementara itu, Najib mahu para penggiat media sosial bertanggungjawab terhadap setiap perkara yang dimuat naik dalam laman sosial masing-masing.

Katanya, ini disebabkan terdapat banyak berita palsu di ruang maya tanpa fakta yang sahih dikhuatiri menggugat keharmonian masyarakat.

“Rakyat Malaysia perlu mengambil serius perkara ini kerana kita tidak mahu sesiapa mengambil keputusan semata-mata berlandaskan pembohongan, gangguan dan khabar angin,” katanya.

Tambahnya, kerajaan kini memfokuskan usaha bagi membangunkan ekonomi digital terhadap komuniti belia, industri kecil dan sederhana (IKS), usahawan digital serta kumpulan B40.

“Kerajaan telah memperuntukkan dana sebanyak RM1 bilion bagi menggalakkan aktiviti dan pembangunan melalui inisiatif ekonomi digital,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anugerah Ikon Media Sosial Malaysia 2017 diberikan kepada pelawak,  Zizan Razak yang mempunyai 4.4 juta pengikut Instagram.

Penerima anugerah

Penerima Anugerah Ikon Media Sosial Malaysia 2017, Zizan

“Sebagai pengguna, kita perlu menggunakan media sosial secara bijak ke arah kebaikan dan bukannya kemudaratan,” kata Zizan ketika ditemui selepas majlis perasmian.

MSMW anjuran kali keenam ini  menampilkan seramai 18 penceramah dari dalam dan luar negara.

Program anjuran Dewan Sosial Media Malaysia ini berlangsung selama dua hari bermula semalam di Hotel Berjaya Times Square turut disokong Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Irwan Serigar Abdullah,  dan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan.

-SF

Tinggalkan komen anda