Skip to main content
Berita TempatanSabah

1000 Sertai Program ‘Kembali ke Sekolah’ Kota Belud

By 26 Disember 2017Tiada komen2 minit bacaan

Laporan: Asmidar Zainol / Foto: Abdullah Sani Ariff Lokhman (Sabah)

KOTA BELUD, 26 Dis (Malaysiaaktif) – Hampir 1000 pengunjung mengambil kesempatan menyertai program ‘Kembali ke Sekolah’ anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bersama Yayasan Jalinan Rakyat Kota Belud di Dataran Majlis Bandaran pada Sabtu pagi.

Program tahunan berkenaan menawarkan perkhidmatan menggunting rambut dan membaiki kasut sebagai persediaan memulakan sesi persekolahan tahun depan.

Suinisu Rudi (kanan, belakang) bersama suami Brindon (kiri, belakang) dan anak-anak mereka, Chester, 8 (kiri, depan), Cnoell, 6 (tengah, depan) dan Clyessa, 4 (kanan, depan).  

Suinisu Rudi (kanan, belakang) bersama suami Brindon (kiri, belakang) dan anak-anak mereka, Chester, 8 (kiri, depan), Cnoell, 6 (tengah, depan) dan Clyessa, 4 (kanan, depan).

Suinisu Rudi, 28, dan suami, Brindon Anthony, 35, berkata peluang berkenaan digunakan sepenuhnya apabila dimaklumkan oleh guru tadika anaknya.

“Pada mulanya kami hanya berniat untuk keluar ke pekan dan ketika di sini saya dihubungi oleh guru anak memaklumkan tentang program ini.

“Syukurlah sekurang-kurangnya saya dapat menjimatkan wang dengan menghantar tiga anak saya menggunting rambut di sini.

“Memandangkan ini ialah kali pertama menyertai program ini, kami tidak membawa kasut yang rosak untuk dibaiki dan kalau ada lagi tahun hadapan, kami akan lebih bersedia dan akan turut membawa kawan-kawan yang lain,” katanya yang akan meyambut perayaan Krismas di Kampung Kamping, Kota Belud.

Sementara itu, bagi nelayan, Deli Lasun, 49, program berkenaan juga dapat meringankan perbelanjaan persekolahan tiga anaknya.

Deli Lasun (kanan) bersama anaknya, Zakhir (kiri), 10 tahun teruja mendapatkan perkhidmatan menggunting rambut.

Deli Lasun (kanan) bersama anaknya, Zakhir (kiri), 10 tahun teruja mendapatkan perkhidmatan menggunting rambut.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada penganjur dan kerajaan kerana banyak memberi bantuan bagi sesi persekolahan anak-anak saya.

“Selain mengunting rambut pada hari ini mereka juga menerima pakaian seragam, kasut, buku dan alat tulis di sekolah,” katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu, Menteri KKMM yang juga ADUN N.8 Usukan, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak berkata Program “Kembali Ke Sekolah” mampu menarik masyarakat untuk mengamalkan hidup dalam satu komuniti.

“Program hari ini bertujuan untuk meringankan bebanan ibu bapa yang mana pada setiap awal tahun akan menyediakan keperluan sekolah anak-anak mereka.

“Sebagai masyarakat berkomuniti, kita galakkan mereka yang kemampuan untuk membantu menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak mereka yang yang memerlukan.

Salleh (dua dari kiri) semasa ditemu bual.

Salleh (dua dari kiri) semasa ditemu bual.

“Inilah konsep komuniti yang perlu diterapkan dalam masyarakat Kota Belud kerana kita selalu berbicara soal rakyat tetapi tidak soal komunit,”katanya.

Salleh turut menekankan program tersebut dianjurkan untuk membantu seluruh komuniti Kota Belud yang memerlukan dan bukan atas agenda tertentu.

“Program ini dianjurkan secara santai kerana ia bukan satu program yang ada matlamat yang lain.

“Ini satu program yang tidak mengira sesiapa sahaja yang memerlukan khidmat, kita akan bantu setakat mana yang boleh dengan memberi fokus kepada dua acara iaitu mengunting ramut dan membaiki kasut.

“Idea ini ialah hasil daripada cadangan rakan-rakan dan pada setiap tahun kita akan adakan pembaharuan serta dipertingkatkan pada tahun-tahun akan datang,”ujarnya.

SF

Tinggalkan komen anda