Skip to main content
Berita TempatanSabah

Jaga Kebersihan Di Pusat Pemindahan Banjir

By 13 Disember 2017Tiada komen2 minit bacaan

Laporan: Asmidar Zainol / Foto: Abdullah Sani Ariff Lokhman (Sabah)

KOTA BELUD, 13 Dis (Malaysiaaktif) – Mangsa banjir dinasihatkan agar menjaga kebersihan di pusat pemindahan sementara banjir demi menjamin kesihatan diri.

Francesca memberi rawatan saringan kepada salah seorang mangsa banjir di pusat pemindahan tersebut.

Francesca memberi rawatan saringan kepada salah seorang mangsa banjir di pusat pemindahan tersebut.

Pegawai perubatan Klinik Kesihatan Jawi Jawi, Doktor Francesca G Dambul berkata walaupun mangsa diberi khemah-khemah khas, mereka perlu bersama-sama menjaga kebersihan tempat lokasi tersebut.

“Mangsa hendaklah bekerjasama menjaga kebersihan terutamanya jangan membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya kerana mereka perlu ingat ini adalah kawasan awam dan ia digunakan bersama.

“Selain itu, mangsa juga perlu pastikan makan dan minum air yang telah dimasak atau dapatkan air mineral dan jangan makan makanan sembarangan.

“Kalau membeli di luar, pastikan punca makanan tersebut bersih untuk elakkan daripada berlakunya keracunan makanan,” ujarnya.

Tambah Francesca, walaupun belum ada kes taun dan demam kepialu yang dilaporkan, mangsa banjir perlu menjaga kebersihan diri dengan mencuci tangan sebelum dan selepas makan selain memastikan tangan dibasuh selepas keluar daripada tandas bagi elak penyakit berjangkit.

“Perkara pertama perlu dilakukan apabila sampai di rumah adalah dengan bersihkan kawasan air bertakung bagi mengelak berlakunya pembiakan nyamuk Aedes yang boleh menyebabkan demam denggi.

“Sekiranya mangsa banjir mengalami demam, muntah-muntah, cirit-birit, mereka perlu segera dapatkan rawatan agar penyakit boleh dikesan awal dan mengelak daripada melarat dan menjadi wabak,” jelasnya.

Pembahagi boleh lipat yang dipasang dalam pusat pemindahan sementara

Pembahagi boleh lipat yang dipasang dalam pusat pemindahan sementara

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia membuka pusat saringan kesihatan di setiap pusat pemindahan mangsa banjir bagi tujuan memberi rawatan dan juga sebagai langkah pencegahan sebarang penyakit berjangkit.

Francesca turut mengingatkan mangsa-mangsa banjir yang mempunyai penyakit untuk membawa bersama bekalan ubat mereka ke pusat pemindahan tersebut.

-SF

 

Tinggalkan komen anda