Skip to main content
Berita TempatanSabah

Tak Sangka Lawatan Bawa Khabar Gembira

By 13 Disember 2017Tiada komen2 minit bacaan

Laporan & Foto: Chong Jakol@ John (Sabah)

INANAM, 13 Dis (Malaysiaaktif) – Kunjungan beberapa orang individu ke sebuah rumah milik Norhayati Rais, 36, di Inanam baru-baru ini rupanya membawa khabar gembira kepada seluruh keluarganya.

Kunjungan sebenarnya ialah tinjauan pengesahan bagi projek baik pulih rumah terhadap 40 penerima yang berdaftar melalui penerima e-kasih di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam.

Penerima sumbangan, Norhayati berkata pada mulanya dia sekeluarga telah dilawati oleh beberapa orang individu yang langsung tidak saya kenali dan bertanyakan keadaan rumah yang masa itu memang mengalami beberapa kerosakan.

Norhayati bersama ahli keluarganya.

Norhayati bersama ahli keluarganya.

“Keadaan rumah saya ketika itu memang banyak kerosakan dan kami tidak mampu untuk membaikinya disebabkan mengalami masalah kewangan. Sewaktu lawatan tersebut pun kami tidak tahu kenapa kerosakan di rumah kami ingin diketahui.

“Setelah beberapa hari baru kami sedar bahawa rumah saya terpilih untuk dibaiki oleh kerajaan dan ini membuat hati saya rasa cukup terharu.

“Saya langsung tidak menyangka sama sekali lawatan tersebut membawa kepada kerja-kerja membaik pulih rumah saya yang dilakukan pada hari ini, terima kasih semua,” ujarnya.

Norhayati yang menetap di kampung Kiansom Tengah, Inanam bersama suami dan empat orang anaknya turut menyatakan bahawa dia telah membuat permohonan baik pulih rumah berkenaan sekian lama kerana memandangkan dia berdaftar dengan program e-kasih tetapi masih tiada jawapan.

“Kerja-kerja pembaikan rumah hari ini ialah jawapan kepada permohonan tersebut dan ini amat menggembirakan saya sekeluarga dan hari ini kami boleh tidur dengan lebih selesa, sekali lagi terima kasih kerajaan,” katanya semasa ditemui pada Majlis Perasmian Projek Baik Pulih Rumah Secara Bergotong-Royong di DUN Inanam pada iInin.

Sementara itu, Pemimpin Pembangunan Masyarakat N.13 Inanam, Fredolin Totin Bangon berkata sebanyak 40 buah rumah di kawasan DUN ini akan dibaik pulih melalui projek baik pulih rumah secara bergotong-royong di kawasan ini.

“Setiap rumah yang berdaftar melalui e-kasih, jika terpilih akan diperuntuk sejumlah RM10,000. Semua peruntukan yang diterima ini disalurkan menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabata Perdana Menteri.

“Kita amat berterima kasih kepada kerajaan persekutuan atas penyaluran peruntukan ini, walaupun kawasan Inanam ini dikuasai oleh parti pembangkang tetapi bantuan dan pembangunan tetap berterusan dan berjalan seperti biasa,” jelasnya.

Totin turut menyeru agar para penduduk kampung yang terlibat dengan projek baik pulih rumah ini dapat menggunakan saluran yang betul dalam mengemukakan setiap permohonan iaitu melalui Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) atau ketua kampung masing-masing dan bukannya melalui pihak ketiga bagi mengelakkan penyaluran bantuan berjalan lancar.

-SF

 

Tinggalkan komen anda