Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeJohor

UTC 7 Hari Seminggu Kepada Penduduk Pasir Gudang

By 31 Disember 2017Januari 2nd, 2018Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan & Foto Oleh : Mohd Zahid Bin Othman & Mohd Najib Bin Mohaini (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 31 Dis (Malaysiaaktif) – Pusat Transformasi Bandar (UTC) kedua di negeri Johor ini dibuka kepada orang ramai pada hari ini di Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang.

IMG-20171231-WA0014

Pembukaan UTC Pasir Gudang diharap dapat memberi impak besar khususnya untuk perkhidmatan setempat kepada sekitar 420 000 orang penduduk komuniti Pasir Gudang, Masai, Seri Alam serta penduduk Kota Tinggi dan Pengerang.

UTC Pasir Gudang sedia untuk dikunjungi oleh orang ramai.

UTC Pasir Gudang sedia untuk dikunjungi oleh orang ramai.

Pegawai Kewangan Negeri Johor, Haji A. Rahim Nin berkata pembangunan UTC Pasir Gudang bukan sahaja memudahkan tetapi ia juga menjimatkan kos dari segi kewangan dan juga masa untuk rakyat mendapatkan perkhidmatan yang diperlukan.

A.Rahim Nin ketika merasmikan Majlis 'Soft Launch' Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pasir Gudang pagi tadi.

A.Rahim Nin ketika merasmikan Majlis ‘Soft Launch’ Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pasir Gudang pagi tadi.

“Inilah hasrat dan keprihatinan kerajaan dibawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Razak yang sentiasa mendengar dan merasai denyut nadi rakyat termasuklah kepada penduduk-penduduk di bandar Pasir Gudang ini.

Sesungguhnya, apa yang telah dijanjikan oleh Perdana Menteri kepada Menteri Besar Johor (pembangunan UTC Pasir Gudang) semasa ucapan beliau ketika merasmikan Ekspo Johor Berkemajuan 2017 yang lalu telah diterjemahkan dalam waktu yang begitu singkat dan telah menjadi realiti pada hari ini,” jelas A.Rahim ketika berucap merasmikan Majlis ‘Soft Launch’ Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pasir Gudang di Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang pagi tadi.

Hadir sama pada majlis tersebut adalah Datuk Dr. Aminuddin Hassim, Pengarah Unit Strategi Nasional, Kementerian Kewangan Malaysia, Hasrin Kamal Hashim, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang & Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Hajah Normala Abdul Samad.

Pembangunan UTC Pasir Gudang bakal memberi perkhidmatan setempat kepada penduduk Pasir Gudang khasnya dan juga penduduk kawasan Pengerang dan Kota Tinggi amnya. Masyarakat disekitarnya tidak perlu ke Pusat Bandaraya Johor Bahru bagi mendapatkan perkhidmatan dan kemudahan kerajaan dan seterusnya UTC Pasir Gudang juga mampu menampung limpahan pelanggan UTC Johor bahru yang semakin meningkat.

Salah seorang pelanggan terawal UTC Pasir Gudang, Tengku Asmizan Tg. Mazlan, 33 dari Taman Tanjung Puteri berkata, kemudahan UTC di Pasir Gudang amat memudahkan penduduknya yang ingin membuat urusan dengan jabatan atau agensi kerajaan.

“Ini memang memudahkan penduduk di sini sebab penduduk Pasir Gudang majoritinya bekerja kilang dengan waktu kerja yang sangat panjang dan jika ingin ke UTC di Pusat Bandaraya Johor Bahru memang tidak sempat,” katanya.

Seorang lagi pelanggan, Amiruddin Sarkawi, 24, dari Masai berkata, beliau amat gembira apabila mengetahui sebuah lagi UTC akan dibuka di Pasir Gudang dan berhampiran dengan tempat tinggal beliau.

Amiruddin Sarkawi, 24, antara pengunjung terawal yang menggunakan perkhidmatan di UTC Pasir Gudang.

Amiruddin Sarkawi, 24, antara pengunjung terawal yang menggunakan perkhidmatan di UTC Pasir Gudang.

“Perkhidmatan di UTC sememangnya cepat dan apabila saya tahu ada UTC sudah dibuka di Pasir Gudang melalui aplikasi Facebook, saya terus berkunjung ke sini dan tidak perlu lagi ke Pusat Bandaraya Johor bahru,” katanya yang sedang berurusan di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara untuk menukar kad pengenalan baharu.

Dalam pada itu, Thinagaran Jayaraman, 37, berkata perkhidmatan di UTC sememangnya cepat dan memudahkan rakyat kerana beliau selalu mengunjungi UTC Johor di Galleria@Kotaraya, Johor Bahru.

“Perkhidmatan UTC ni memang cepat dan senang jadi apabila sudah ada UTC di Pasir Gudang ini saya boleh jimat masa dan minyak kereta,” katanya.

Sebanyak 13 buah agensi dari Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Badan Berkanun yang telah memulakan operasi di UTC Pasir Gudang selaras dengan pembukaannya pada hari ini.

Pembangunan UTC Pasir Gudang ini amatlah signifikan bagi kesinambungan negeri Johor dalam memberikan perkhidmatan yang mengutamakan kesejahteraan masyarakat serta wawasan untuk melestarikan Pasir Gudang dan negeri Johor dalam pelbagai aspek.

MRR

Tinggalkan komen anda