
Laporan dan foto : Mohd Baharruddin Mohamad / Remmy Ramai (Sarawak)
MUKAH, 10 Jan (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri telah membiaya sebanyak RM282,694 untuk projek Pusat Komersial Kampung Tellian yang dijangka beroperasi sepenuhnya April tahun ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Yussibnosh Balo, projek ini dibina di atas tapak bekas Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tellian yang telah dirobohkan dan dipindahkan ke lokasi lain.
“Memandangkan bekas tapak sekolah lama sebelum ini telah dirobohkan, maka tempat tersebut amat sesuai untuk dibina pusat komersial untuk kegunaan bersama penduduk dari Kampung Tellian Tengah dan Kampung Tellian Ulu sebagai pusat penghasilan pelbagai hasil hutan atau sebagainya.
“Apabila siap nanti, pusat komersial tersebut dijangka dapat dijadikan tempat untuk penduduk setempat berniaga.
“Disamping itu, pusat komersial ini dijangka dapat memajukan ekonomi penduduk setempat dan membangunkan pembangunan untuk kegunaan bersama,” jelasnya lagi.
Menurut seorang penduduk, Ulai Slyvester Sukup, apabila siapnya pusat komersial ini diharapkan agar penduduk dapat memanfaatkan pusat komesial tersebut sebaik mungkin dalam mencari rezeki.
“Bantuan seperti ini kita gunakan untuk menaik taraf tahap ekonomi semasa dan cukup berterima kasih kepada pihak kerajaan negeri kerana perihatin dalam membangunkan kampung ini.
“Kita berharap agar lebih banyak lagi pembangunan lain akan didirikan di sini ini dimasa akan datang demi untuk pembanguan kampung kita,” ujarnya.