Skip to main content
Berita TempatanSabah

MAB Perkenal Pesawat Baharu A350-900

By 11 Januari 2018Tiada komen2 minit bacaan

Laporan: Fauzrina Bulka / Foto: Azman Jumat (Sabah)
 
KOTA KINABALU, 11 Jan (Malaysiaaktif) – Malaysia Airlines Berhad (MAB) memperkenalkan pesawat baharu A350-900 (XWD) yang akan menggantikan pesawat A380 dijangka mampu meningkatkan lagi tahap industri penerbangan negara.

Ketua Pegawai Komersil MAB, Arved Von Zur Muehlen berkata, pesawat tersebut mampu mengurangkan kos operasi sebanyak 25 peratus untuk penerbangan ke London, England dengan menawarkan perkhidmatan yang selesa kepada penumpang.

“Kesemua enam pesawat A350 akan diterima menjelang suku kedua tahun ini manakala pesawat A380 sedia ada akan digunakan untuk penerbangan amal dan penerbangan sewa khas bagi penumpang mengerjakan umrah,” ujarnya.

Zainuddin (tiga dari kanan) dan Jamilah (tiga dari kiri) bersama anak kapal yang bertugas.

Zainuddin (tiga dari kanan) dan Jamilah (tiga dari kiri) bersama anak kapal yang bertugas.

Menurutnya, pesawat A380 merupakan pesawat yang sangat besar dan jika dilihat kepada pasaran Malaysia, melebihi kapasiti penumpang diperlukan setakat ini.

“Dengan persaingan yang sengit bagi laluan ke London, kami merasakan A350 ini lebih baik dan sesuai untuk digunakan.

“Pesawat berkenaan juga akan memulakan penerbangan secara rasmi dari Kuala Lumpur ke London pada 15 Januari ini,” katanya ketika ditemui sejurus tiba bersama tetamu kehormat dan penumpang yang lain pada Selasa.

Turut bersama, Pengarah Kanan Perancangan Strategik Tourism Malaysia, Datuk Zainuddin Abdul Wahab dan Pengarah Tourism Malaysia Negeri Sabah, Jamilah Abdul Halim.

Zainuddin berkata, ini merupakan satu pengalaman yang baharu dalam sejarah industri penerbangan MAB sendiri. Penumpang dapat mencuba pesawat baharu yang akan digunakan untuk penerbangan antarabangsa.

“Pengalaman saya selain cuaca yang baik, pesawat yang besar dan selesa, saya juga turut berkesempatan untuk mengunjungi kelas ekonomi.

“Dalam kelas ekonomi  saya lihat lebih selesa dan luas, tempat duduk juga agak lebar daripada biasa yang pastinya penumpang akan mengalami satu pengalaman yang berlainan seperti yang pernah dirasai sebelumnya.

“Pesawat ini pastinya menjanjikan keselesaan apatah lagi akan digunakan bagi penerbangan jarak jauh,” katanya.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Masidi Manjun yang tiba bersama 155 penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu(LTAKK) pada 3.50 petang.

SF

Tinggalkan komen anda