
Laporan dan foto : NorFadzlina Ahmad Fadzli (Gua Musang)
GUA MUSANG, 15 Jan (Malaysiaaktif) – Seramai 242 pelajar Orang Asli yang terkandas di empat pos di pedalaman sini, iaitu Pos Balar, Pos Bihai, Pos Belatim dan Pos Gob diangkut menggunakan dua helikopter Agusta 019E dan Agusta Westland 139 milik Unit Udara Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini akibat jalan rosak.
Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Kelantan, Azman Ngadiron berkata operasi yang melibatkan tiga agensi utama Unit Udara JBPM dan Jabatan Pendidikan negeri akan berjalan selama tiga hari bermula hari ini dan berakhir Rabu nanti.
“Kerjasama ini menunjukkan pihak kerajaan tidak mengabaikan pendidikan Orang Asli dan operasi esok diteruskan ke Pos Bihai yang melibatkan 114 orang pelajar dari Kampung Laklok, Tendrik, dan Bihai, manakala pada hari Rabu ini, membabitkan 51 pelajar di Pos Gob.
“Pelajar tersebut tidak dapat ke sekolah kerana jalan darat terputus hubungan serta rosak teruk dan laluan jalan balak juga tidak boleh digunakan,” jelasnya.
Semenjak dari awal persekolahan Januari lepas, pihak JAKOA telah berjaya mengangkut pelajar yang terperangkap seramai 57 orang di Pos Simpor untuk dibawa keluar melalui jalan darat.
Sementara itu, salah seorang pelajar yang terperangkap, Wendy a/p Andlem, 19, dari Kampung Cemol, bersyukur dan gembira kerana dapat hadir ke sekolah kembali.
“Saya risau setelah dua minggu tidak dapat mengikuti pembelajaran memandangkan tahun ini saya akan menduduki peperiksaan SPM,” katanya yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indera Petra 1, di sini.
Manakala seorang lagi pelajar dari Kampung Cemol, Suraya a/p Ajeh, 13, berkata, beliau rasa teruja menaiki helikopter dan tidak sabar untuk ke sekolah memandangkan ini merupakan hari pertama sesi persekolahannya di sekolah menengah.
– SH