
Oleh : Mohd Zahairi Ahmad Zabidi dan Mohd Hanif Ahmad
MERSING 14 Jan (Malaysiaaktif) – Seramai 1,239 mangsa banjir daripada 347 keluarga ditempatkan di lapan Pusat Penempatan Sementara (PPS) seluruh Mersing sejak Khamis lalu.
Kawasan yang terjejas termasuk Kampung (Kg) Tenglu Besar, Kg Air Papan, Kg Baru Jemari, Kg Sg Muka Dua, Kg Orang Asli Labong, Kg Air Merah dan Kg Benaung.
Keperluan harian seperti makanan dan alatan lain disediakan secukupnya oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Pejabat Daerah Mersing dan Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADMA).
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mencemar duli ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Mersing Kanan melawat mangsa banjir di daerah ini sebentar tadi.
Seramai 259 orang mangsa daripada 83 keluarga ditempatkan di PPS tersebut sejak tengah hari semalam.
Baginda sempat meluangkan kira-kira 15 minit beramah mesra dengan mangsa-mangsa banjir yang ditempat di PPS tersebut sebelum menuju ke PPS di SK Air Papan.
Ketua Kampung Bahagia / Sri Lumpur, Daing Ibrahim berkata “Pelbagai agensi bertugas membantu tanpa henti mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di sini dan Sekolah Agama Mersing Kanan.
“Sejak tiga hari lalu, hujan lebat berterusan bertembung dengan air pasang pada sebelah malam dan awal pagi,” katanya.
“Saya bersyukur dengan kehadiran tuanku ke PPS di sini. Kehadiran tuanku menggembirakan mangsa yang terdapat di sini.
Mengulas lanjut keadaan tersebut, Daing berkata keadaan banjir melanda kampungnya yang sebelum ini dikenali sebagai Kg Sungai Muka Dua berlaku susulan pertembungan air pasang dan hujan lebat.
Pihak Polis DiRaja Malaysia, Bomba, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Pejabat Daerah Mersing dan Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADMA) dipertanggungjawabkan membantu mangsa-mangsa banjir ini.
– MRR