
Laporan: Mohammad Abdul Rahman / Foto: Riyani (Sabah)
PAPAR, 2 Jan (Malaysiaaktif) – Rumah Jagaan Kanak-Kanak (RKK) Kota Kinabalu amat memerlukan perhatian dan kerjasama semua pihak agar kanak-kanak yang kurang bernasib baik mendapat penjagaan yang lebih sempurna.
Pengetuanya, Arabiah Harun berkata RKK terbabit merupakan salah satu pusat jagaan kanak-kanak di negeri ini.
“Kami di pusat jagaan ini amat berharap sokongan daripada semua pihak agar pusat ini terus membantu kanak-kanak yang tidak bernasib baik.
“Pusat terbabit yang berkeluasan tujuh hektar yang terletak sejauh 14 kilometer dari Pekan Papar, mula beroperasi pada 2004.
“Pusat ini mampu menempatkan seramai 100 kanak-kanak dan ketika ini jumlah penghuni ialah seramai 96 penghuni yang berumur enam bulan sehingga ke 18 tahun,” ujarnya.
Tambahnya, dahulu pusat ini hanya mampu menampung 50 orang saja.
“Kanak-kanak yang ditempatkan di pusat ini adalah atas perintah Mahkamah dalam kes-kes pengabaian, pembuangan bayi, penderaan serta anak yatim piatu. Tugas kami di sini sebagai penjaga dan memberi perlindungan kepada mereka,” ujarnya.
Tambahnya, kita ada Jawatankuasa Lembaga Pelawat yang merupakan badan luar yang dilantik oleh Menteri Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), terdiri daripada orang perseorangan.
“Jawatankuasa ini lebih berfungsi untuk mencari dana luar hasil sumbangan daripada syarikat-syarikat, orang perseorangan dalam bentuk wang, barangan dan makanan,” jelasnya.
Arabiah turut menambah, penghuni RKK di sini sentiasa diberi pendidikan asas 3M (menulis, membaca dan mengira) termasuk Kelas Al quran dan Fardhu Ain (KAFA) bagi kanak-kanak yang kurang memiliki dokumentasi lengkap manakala bagi yang lengkap akan dihantar ke sekolah berhampiran.
“Saya berharap semoga kanak-kanak yang dibesarkan di sini dapat berjaya di luar kerana kami di sini hanya membantu membesarkan mereka, walaupun bukan keluarga sebenar, kami tetap berharap kanak-kanak ini menjadi seorang insan yang baik dan berjaya,” katanya lagi.
Sementara itu, Penghuni Rumah Kanak-Kanak, As Sakinah, Norkazwanizah Kamil Hamzah, 12, berkata dia tinggal di As-Sakinah sejak berumur sembilan tahun dan berasa bersyukur kerana mendapat penjagaan terbaik serta diberi peluang terlibat menyertai pelbagai program yang diadakan di pusat ini.
“Tahun ini iaitu 2018, saya bakal memasuki Tingkatan 1 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datuk Mustapha. Terima kasih kepada semua yang memberi bantuan kerana bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu persekolahan saya.
“Azam Tahun Baharu ini saya ingin menggembirakan ibu saya untuk lulus dalam semua mata pelajaran dan sumbangan yang saya terima akan disimpan di bank untuk kegunaan masa depan,” kata anak ketiga daripada empat beradik itu yang merupakan antara 80 penerima bantuan sempena Program Ramah Mesra RKK anjuran Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) dengan kerjasama Jabatan Penyiaran (RTM) Sabah di RKK dekat sini di Beringgis pada Jumaat.
Terdahulu, YADIM bersama Squad Geng Bubut RTM Sabah menganjurkan program berkenaan sambil beramah mesra bersama dengan para penghuni Rumah Kanak-Kanak terbabit.
Pengarah YADIM Sabah, Samin Ongki berkata aktiviti seperti ini akan sentiasa dilaksanakan bersama RTM Sabah ke lokasi-lokasi lain pada tahun depan.
“Melalui aktiviti ini dapat merapatkan kemesraan antara penyampai radio RTM dan masyarakat menerusi pengisian aktiviti bersifat hiburan bermaklumat serta dakwah yang kian mendapat sambutan baik daripada rakyat.
“Justeru, ini mampu menyebar luas peranan YADIM-RTM selain dapat mendekatkan rakyat dengan agensi-agensi kerajaan, serta para penyampai radio RTM itu sendiri”, jelasnya.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kerjaya selaku Ahli Parlimen Papar Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlen turut menyambut baik inisiatif penganjuran program tersebut yang turut membawa keceriaan kepada anak-anak RKK di sini khasnya.
“Saya yakin dengan program NBOS antara YADIM-RTM, pasti berupaya mendekatkan hubungan masyarakat umum dengan kanak-kanak terbabit serta dapat menyerlahkan lagi keindahan dan kesyumulan Islam itu khususnya di komuniti RKK ini,” katanya semasa merasmikan program terbabit.
-SF