Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeJohor

Rumah Transit Belia Johor Kurangkan Beban Pasangan Muda

By 28 Januari 2018Tiada komen2 minit bacaan

Laporan & Foto Oleh : Mohd Zahid Bin Othman & Mohd Najib Bin Mohaini (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 28 Jan (Malaysiaaktif) – Hanya dengan bayaran sewa sebanyak RM250 sebulan, golongan belia yang layak dapat menduduki Rumah Transit Belia Johor yang dilancarkan hari ini di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Melana, Johor Bahru.

Rumah contoh Rumah Transit Belia Johor di PPR Sungai Melana yang sesuai untuk didukui oleh pasangan muda yang baharu berkahwin.

Rumah contoh Rumah Transit Belia Johor di PPR Sungai Melana yang sesuai untuk didukui oleh pasangan muda yang baharu berkahwin.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Md. Jais Sarday berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Rumah Transit Belia Johor di sini hari ini.

Sebanyak 390 unit di PPR Sungai Melana akan dijadikan sebagai projek Rumah Transit Belia Johor yang pertama di negeri ini, katanya.

“Ini adalah inisiatif baharu untuk golongan belia yang sudah berkahwin berumur 18 hingga 30 tahun dengan pendapatan seisi rumah dibawah RM5000 sebulan dan sudah menetap di Johor lebih dari 10 tahun.

Rumah Transit Belia Johor merupakan inisiatif baharu untuk golongan belia yang sudah berkahwin berumur 18 hingga 30 tahun dengan pendapatan bawah RM5,000 untuk dijadikan rumah sementara - Md. Jais Sarday

Rumah Transit Belia Johor merupakan inisiatif baharu untuk golongan belia yang sudah berkahwin berumur 18 hingga 30 tahun dengan pendapatan bawah RM5,000 untuk dijadikan rumah sementara – Md. Jais Sarday

Mereka boleh tinggal (sewa) di Rumah Transit Belia Johor ini selama tiga tahun sahaja dan selepas tamat tempoh tersebut, mereka kena mencari rumah sendiri samada beli atau sewa,” jelasnya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Rumah Transit Belia Johor di sini.

Projek perintis ini yang diumumkan oleh Menteri Besar Johor menerusi Ucapan Bajet Johor 2018 yang lalu, diperkenalkan melalui kerjasama dengan Jabatan Perumahan Negara dibawah Program Rumah Transit 1Malaysia untuk memberi kemudahan perumahan sementara kepada belia yang sudah berkahwin sehingga mereka mampu membeli rumah sendiri yang lebih baik dan selesa.

Dalam pada itu, Md. Jais berkata, sebanyak lapan buah PPR telah dibina di negeri Johor iaitu enam di Johor Bahru; PPR Tebrau, PPR Sri Stulang, PPR Pasir Pelangi, PPR Tampoi, PPR Plentong dan PPR Sungai Melana serta PPR Yong Peng di Batu Pahat dan PPR Batu Anam di Segamat.

“Keseluruhan lapan PPR ini boleh memberi peluang kepada 8,278 keluarga yang layak dan kurang kemampuan untuk disewa dan diduduki,” jelasnya lagi kepada pemberita.

Pada tahun ini juga, sebanyak empat buah lagi PPR akan siap dibina di Johor Bahru iaitu PPR Uda Utama, PPR Taman Perling, PPR Taman Pelangi Indah dan PPR Sungai Melana Fasa 2 yang boleh menempatkan seramai 2,917 keluarga lagi.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed, Setiausaha Bahagian Perumahan Johor, Mohd Radzi Mohd Amin, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Perumahan Negara, Suhaimi Syawal dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Adib Azhari Daud.

– MRR

Tinggalkan komen anda