Skip to main content
Berita TempatanSabah

Saya ialah Ahli Keluarga Goong – Musa

By 24 Januari 2018Tiada komen2 minit bacaan

Laporan & Foto: Ahmad Faizal Jamil (Sabah)

KENINGAU, 24 Jan (Malaysiaaktif) – Dianggarkan seramai 1500 ahli keluarga ‘GOONG’ berhimpun pada suatu majlis yang cukup meriah penuh kejutan apabila kelibat kehadiran Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman yang turut memakai kemeja-T ‘I Am Goong’.

Kehadiran Ketua Menteri bersama Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman yang juga merupakan adik kepada Ketua Menteri memberi tanda tanya adakah Musa dan Anifah juga adalah daripada keluarga ‘Goong’.

Musa semasa memberi ucapan pada majlis perhimpunan berkenaan.

Musa semasa memberi ucapan pada majlis perhimpunan berkenaan.

Musa semasa berucap merasmikan majlis tersebut berkata dia ialah ahli keluarga GOONG.

“Saya bernama Musa Aman ialah anak kepada Paah iaitu ibu saya. Paah ialah anak kepada Yahya. Yahya ialah anak kepada Goong. Jadi itulah sebab saya memakai baju ‘I am Goong’,” katanya sambil tersenyum menjelaskan susur galur keluarga sebelah ibunya.

“Saya amat bersyukur dan gembira melihat semangat kekeluargaan ahli keluarga ini yang terus kukuh dan berkembang besar generasi ke generasi.

“Perjumpaan keluarga pertama kali ini banyak memberi kejutan serta dapat saling mengenali antara satu sama lain dalam ahli keluarga Goong,” ujarnya.

Tambahnya, perjumpaan ini juga memberi ruang dan peluang kepada kita semua ahli keluarga Goong mengetahui sejarah dan latar belakang susur galur keluarga ini dengan lebih dekat.

“Program ini cukup baik. Semua ahli keluarga dapat mengeratkan hubungan persaudaraan dan silaturahim sesama kita sesuai dengan tema perhimpunan kali ini iaitu ‘Pountingan Ponsu-Suladan Koingkatan Sinayatan’ yang bererti Kesatuan Keluarga Memupuk Perpaduan.

“Sebagai ahli keluarga besar ini, kita perlu terus bersatu padu dan bersatu hati serta lebih penting sentiasa menjaga nama baik keluarga di mana sahaja kita berada,” jelasnya.

Perhimpunan keluarga sebegini tentunya dapat memelihara dan menghargai budaya keluarga Goong supaya tidak luput ditelan zaman kerana melalui perhimpunan sebegini kita turut dapat pamerkan pakaian tradisi budaya dan makanan keluarga kita.

“Bagi saya ini amat penting untuk kita pamerkan agar generasi muda, anak-anak dan cucu cicit kita dapat mengetahui betapa tingginya nilai khazanah dan budaya suku kaum kita.

“Walaupun masa berubah tetapi kita mesti sentiasa berbangga dengan budaya unik kita serta masakan yang enak.

“Kalau bukan kita, kalau bukan keluarga dan generasi Goong yang memelihara semua budaya yang baik-baik ini siapa lagi yang kita harapkan untuk memeliharanya”, katanya semasa merasmikan Majlis Perhimpunan Keluarga Goong di Pusat Kraf tangan Keningau pada Sabtu.

Dalam pada itu Musa turut menjelaskan terdapat permintaan untuk mengadakan Hari Keluarga Kina.

“Bagi saya biarlah untuk kali ini kita mengadakan untuk Keluarga Goong dahulu. Lain kali kita adakan untuk Keluarga Kina pula, mungkin kita adakan setahun atau dua tahun sekali.

“Semoga anak-anak dan generasi keluarga Goong terus cemerlang dalam pelajaran dan bidang masing-masing, Terima kasih dan penghargaan kepada semua yang bekerjasama berganding bahu menjayakan “Hari Keluarga Goong” ini,” katanya.

-SF

Tinggalkan komen anda