Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeNegeri Sembilan

Jangan Mudah Percaya ‘Berita’ Dalam Media Sosial

By 6 Februari 2018Tiada komen2 minit bacaan
Abu Ubaidah menyerahkan bahan kempen SEBENARNYA.MY kepada wakil-wakil sekolah.

 

Laporan oleh Daniel Jong / Foto:  Mohd Khairulnizam Bin Mohd Yunus (Seremban)

SEREMBAN, 6 Feb (Malaysiaktif) –  Orang ramai disarankan supaya tidak mudah terpengaruh dengan sebarang maklumat tidak sahih yang sering kali tular dalam media sosial.

Ini kerana ia boleh mengundang kesan buruk bukan sahaja kepada individu, malahan juga kepada rakyat dan negara.

2.Forum ‘Berita Palsu Musuh Negara‘ dimoderatorkan oleh Pengarah Penerangan Negeri Sembilan Sabarudin Yeop Hamza (tengah) bersama panel, Dr Farid Ravi Abdullah (kiri) dan Anuar Ali (kanan).

2. Forum ‘Berita Palsu Musuh Negara‘ dimoderatorkan oleh Pengarah Penerangan Negeri Sembilan Sabarudin Yeop Hamza (tengah) bersama panel, Dr Farid Ravi Abdullah (kiri) dan Anuar Ali (kanan).

EXCO Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan Datuk Abu Ubaidah Redza yang berkata demikian mengingatkan bahawa kebanyakan maklumat yang tular itu sekadar bertujuan menarik perhatian tanpa perlu difikirkan kesahihannya kepada masyarakat.

“Dengan adanya portal SEBENARNYA.MY, saya percaya ia dapat dijadikan medium untuk memberikan penjelasan kepada rakyat tentang perkara sebenar yang berlaku di negara kita.”

3.Zahari menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada seorang pengunjung program.

3. Zahari menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada seorang pengunjung program.

“Saya percaya pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan meneliti semua maklumat supaya penyebaran bahan-bahan yang tidak benar dapat disekat,“ tambahnya selepas merasmikan majlis penutup Program Jelajah Karnival SEBENARNYA.MY peringkat Negeri Sembilan di Kompleks Belia dan Sukan  (KOMBES) Paroi, di sini semalam.

Program anjuran SKMM itu turut dibantu oleh pihak Jabatan Penerangan Negeri Sembilan dan beberapa agensi lain, termasuk  Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Politeknik Nilai, Kolej Komuniti Rembau dan Jobs Malaysia.

“Program ini amat berguna kerana bukan sahaja kita dapat pencerahan tentang isu-isu semasa, tetapi kehadiran agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membolehkan saya menyemak status pendaftaran pemilih saya,“ kata Aizat Mohd Maliki, 27, yang merupakan penduduk dari Ampangan.

4.Kanak-kanak Tadika KEMAS yang menyertai pertandingan mewarna.

4. Kanak-kanak Tadika KEMAS yang menyertai pertandingan mewarna.

Seorang lagi pengunjung, Nur Baizura Yazid, 23, berharap akan mendapat peluang bekerja setelah membuat permohonan pekerjaan melalui Jobs Malaysia yang turut menyertai pameran sempena program ini.

Jelajah SEBENARNYA.MY dianjurkan bagi mendekati masyarakat tempatan dan mendidik mereka tentang kepentingan memilih berita dan maklumat sebelum ditularkan dalam media sosial, seperti Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Portal SEBENARNYA.MY yang dilancarkan pada 14 Mac tahun lepas merupakan saluran rasmi untuk menghimpunkan hanya berita dan maklumat yang sah.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Paroi Mohd Ghazali Abd Wahid, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan Sabarudin Yeop Hamza dan Pengarah MCMC Wilayah Tengah Zahari Ismail.

-AAS

Tinggalkan komen anda