
LAPORAN & FOTO : Wenny Di Tian Soh (Sabah)
KENINGAU, SABAH, 09 Feb. (Malaysiaaktif) –Rakyat yang layak untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke 14 tahun ini diingatkan agar tidak mudah keliru dengan hasutan sesetengah parti hingga mengadaikan masa depan.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook, Datuk Ellron Alfred Angin berkata, pengundi seharusnya berhati-hati dan jangan keliru dengan hasutan hingga bertindak mensia-siakan undi yang dipangkah.
“Undi anda adalah penentu masa depan dan kerajaan tidak pernah mengambil kira faktor agama, bangsa atau budaya dalam membuat sebarang keputusan bagi menyalurkan peruntukan pembangunan untuk rakyat,” Jelas Ellron.
Tambahnya, kerajaan sentiasa memberi penekanan terhadap tanggungjawab, amanah dan telus dalam melaksanakan segala projek pembangunan.
“Justeru, saya berharap agar setiap penjawat awam, pemimpin-pemimpin masyarakat, ketua kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu melaksanakan tanggungjawab dengan saksama dalam usaha memajukan Daerah Kecil.
Jelasnya, setiap agensi terlibat perlu menjadikan pencapaian terdahulu sebagai panduan dalam usaha melaksanakan pembangunan di daerah ini.
“Saya percaya kita sentiasa mempunyai peluang dan ruang untuk meningkatkan pencapaian sedia ada ke tahap yang lebih tinggi kerana kita mempunyai kepakaran, potensi dan kemudahan yang sentiasa berkembang.
“Apa yang perlu, kita sentiasa mengkaji dan memperbaiki pendekatan dan inisiatif yang telah, sedang dan akan diambil agar ianya sentiasa bersesuaian mengikut peredaran masa hari ini dan akan datang.
Ellron Alfred berkata demikian semasa merasmikan Majlis Amanat Tahun Baharu 2018 bertempat di Dewan Masyarakat Sook pada khamis.
“Pemimpin baik dan berwibawa perlu mempunyai visi serta misi untuk terus membela rakyat.
“Manakala rakyat atau pengundi perlu melihat selama tempoh lima tahun ini pelbagai pembangunan dilakukan kerajaan untuk rakyat.
“Jika terdapat pemimpin hanya ingin berebut kerusi, rakyat perlu bijak agar pilihan yang dilakukan benar-benar membawa kebaikan bukan sebaliknya,” tambahnya lagi.
Pada majlis tersebut, penduduk turut berpeluang bertanya selain turut mendengar sessi taklimat isu-isu keselamatan daripada Ketua cawangan Khas ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau, ASP Nelson Zeno dan ceramah Cukai Barang dan Perkhidmatan Malaysia (GST) oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Papar, Kamarudin Lidi.
– MRR