Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Lebih 100 ribu pelajar Miskin Di Sabah Terima Bantuan KWAPM

By 14 Februari 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 

Laporan & Foto Oleh  : Mohd Hafiz Mat Nor (Sabah)

 

                TENOM, SABAH, 13 Feb. (Malaysiaaktif) – Seramai 148,245 pelajar di negeri Sabah menerima bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) bagi tahun ini dengan peruntukan sejumlah RM14.8 juta.

Pengarah, Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Hajah Maimunah Haji Suhaibul berkata, Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri pada tahun lalu telah memperuntukkan sejumlah RM14.8 juta bagi bantuan KWAPM berkenaan untuk golongan pelajar miskin.

Pegawai pendidikan daerah Tenom, Nabawan, Tambunan dan Keningau bersama replika cek bantuan awal persekolahan yang diterima pada program berkenaan

Pegawai pendidikan daerah Tenom, Nabawan, Tambunan dan Keningau bersama replika cek bantuan awal persekolahan yang diterima pada program berkenaan

“Selain itu, melalui bajet berkenaan kerajaan turut memperuntukkan sejumlah RM34.7 juta bagi bantuan awal persekolahan bagi negeri Sabah.

“Melalui bantuan ini membolehkan para pelajar terus memperoleh bantuan awal persekolahan RM100 untuk setiap pelajar sebagai usaha kerajaan membantu ibu bapa dalam meringankan beban penyediaan persekolahan anak-anak.

Maimunah berkata demikian semasa berucap pada program bicara prosesionalisme pendidikan Jabatan Pendidikan negeri Sabah di Dewan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hwa Tenom pada isnin.

Brendeliy menerima bantuan awal persekolahan pada majlis berkenaan

Brendeliy menerima bantuan awal persekolahan pada majlis berkenaan

Jelasnya lagi, bajet yang dibentangkan oleh Perdana Menteri tersebut turut memperuntukkan sejumlah RM2.5 bilion bagi pembaikan sekolah-sekolah daif di seluruh negara dan daripada jumlah tersebut sebanyak RM1 bilion diperuntukan untuk negeri Sabah.

“Pihak jabatan telah menyenaraikan sekolah-sekolah daif yang memerlukan pembaikan segera di bawah peruntukan berkenaan dan beberapa sekolah akan memulakan pembaikan berkenaan untuk fasa pertama dengan memperuntukkan sejumlah RM500 juta.

“Baki pelaksanaan pembaikan ini akan dilaksanakan pada fasa kedua yang dijangka akan dilaksanakan pada tahun 2019,” ujarnya.

Rubin menyampaikan replika cek bantuan awal persekolahan kepada pegawai pendidikan daerah Tenom, Riduan

Rubin menyampaikan replika cek bantuan awal persekolahan kepada pegawai pendidikan daerah Tenom, Riduan

Maimunah turut menyatakan bahawa penggunaan sistem binaan berindustri (IBS) akan diguna pakai terhadap projek pembaikan berkenaan bagi menggantikan bangunan sekolah daif.

“Senarai sekolah yang terlibat dalam pembinaan berkenaan telah diserahkan kepada Kementerian Pendidikan dan difahamkan projek berkenaan akan dilaksanakan dalam tempoh yang terdekat ini,” jelasnya lagi.

Tambahnya lagi, melalui peruntukan yang disediakan kerajaan jelas menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa konsisten dalam membantu pembangunan pendidikan di negeri ini.

“Selain itu, kerajaan turut memperuntukkan sejumlah RM144 juta setahun dalam program bantuan makanan asrama untuk para pelajar yang tinggal jauh dan terpaksa menetap di asrama-asrama sekolah yang telah disediakan,” katanya lagi.

Sementara itu, penerima bantuan awal persekolahan, Brendanliy Danish, 9, menyatakan rasa gembira menerima bantuan tersebut dan berharap bantuan tersebut dapat membantu ibu bapanya dalam menyediakan peralatan persekolahannya.

Brendeliy Danish

Brendeliy Danish

Pada majlis tersebut dianggarkan lebih 500 warga pendidik hadir bersama menjayakan program tersebut yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri N.36 Kemabong Datuk Rubin Balang.

 

  • MRR

Tinggalkan komen anda