Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

Projek Naik Taraf Jalan Alor Fasa 2 Akan Diteruskan

By 23 Februari 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan Foto oleh: Saraspathy Letchumanan & Zaharah Ismail (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Malaysiaaktif) – “Pusat Penjaja di Jalan Alor akan terus dinaik taraf melalui projek menaiktaraf dan pengindahan Jalan Alor Fasa 2 bagi menyambung kerja-kerja pengindahan yang merangkumi kawasan pejalan kaki, penyeragaman kiosk serta papan tanda, kerja-kerja landskap dan baik pulih sistem perparitan.”

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata demikian ketika merasmikan Program Kenduri 1Wilayah Persekutuan (K1WP) Peringkat Parlimen Bukit Bintang sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2018, di sini semalam.

“Sebagai satu langkah untuk terus menyokong kerancakan aktiviti perniagaan Pusat Penjaja Jalan Alor ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membenarkan penutupan jalan di sepanjang Jalan Alor bermula 7.00 malam hingga 2.00 pagi.

“Penutupan jalan ini adalah bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengunjung yang berjalan kaki ke pusat-pusat penjaja di sepanjang jalan tersebut,” katanya.

Datuk Dr Loga Bala Mohan menyampaikan ucapan perasmian semasa Program Kenduri 1Wilayah Persekutuan Peringkat Parlimen Bukit Bintang di Jalan Alor, Bukit Bintang

Datuk Dr Loga Bala Mohan menyampaikan ucapan perasmian semasa Program Kenduri 1Wilayah Persekutuan Peringkat Parlimen Bukit Bintang di Jalan Alor, Bukit Bintang

Menurut Loga, dalam meningkatkan imej ibu negara Kuala Lumpur sebagai sebuah bandaraya bertaraf dunia, projek menaiktaraf dan pengindahan Jalan Alor Fasa 1 telah siap sepenuhnya pada Mac 2017.

“Kejayaan ini adalah merupakan usaha dan kerjasama di antara pihak DBKL dengan pemilik-pemilik bangunan dan penjaja di Jalan Alor.

“Satu ikonik baru iaitu tiang lampu chopstick telah dibina dan menjadi mercu tanda utama Jalan Alor yang terkenal sebagai syurga makanan pada waktu malam di Kuala Lumpur,” katanya lagi.

Para pengunjung mengambil makanan yang disediakan oleh pihak penganjur

Para pengunjung mengambil makanan yang disediakan oleh pihak penganjur

Mengulas mengenai K1WP yang mula diperkenalkan pada 2011, Loga berkata program anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Pusat Khidmat Masyarakat Bukit Bintang ini telah menjadi ‘signature’ SHWP yang berkonsepkan mesra rakyat.

“Kita masih mengekalkan pelaksanaan K1WP ini dengan mendekati rakyat secara lebih akrab di semua Parlimen termasuk Putrajaya dan Labuan.

“Kita mendapati program ini memberi impak yang amat positif kepada warga Wilayah Persekutuan khususnya dalam jalinan ukhwah sesama insan.

“Program ini juga dilihat dapat menyatukan semua komuniti dengan penglibatan semua lapisan masyarakat dalam melaksanakan dan menjayakan K1WP ini,” jelasnya yang mewakili Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Ahli Lembaga Penasihat DBKL merangkap Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Zainal Abidin Mohd. Rafique menyampaikan ucapan aluan

Ahli Lembaga Penasihat DBKL merangkap Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Zainal Abidin Mohd. Rafique menyampaikan ucapan aluan

SHWP 2018 masih mengekalkan tema ‘Wilayah Ceria, Rakyat Sejahtera’ kerana dilihat dapat memberi impak yang positif kepada semua warga Wilayah Persekutuan terutamanya dari aspek meningkatkan kesejahteraan kehidupan rakyat serta menambahkan semangat kebersamaan dan keharmonian dalam kalangan warganya.

Program yang dibanjiri kira-kira 3,000 warga kota ini turut hadiri oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz dan Ahli Lembaga Penasihat DBKL merangkap Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Zainal Abidin Mohd Rafique.

– AH

Tinggalkan komen anda