Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeTerengganu

RM700 Ribu Diperuntukan Untuk Tiga Projek Infrastruktur

By 20 Februari 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : M. Subhi Abang (Setiu)

SETIU, 20 Feb (Malaysiaaktif) – Sebanyak RM700 ribu diperuntukkan untuk melaksanakan tiga projek infrastruktur di daerah ini oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Timbalan Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, peruntukkan itu melibatkan pembinaan projek infrastruktur awam di dua buah kampung dalam kawasan Parlimen Setiu.

Halimah (tengah) merasmikan Bangunan Dewan Komuniti di Kampung Telaga Papan, siang tadi.

Halimah (tengah) merasmikan Bangunan Dewan Komuniti di Kampung Telaga Papan, siang tadi.

“Hari ini kita bersetuju meluluskan sebanyak RM400 ribu untuk membina sebuah gelanggang futsal berbumbung di Kampung Telaga Papan.

“RM200 ribu membina dataran kejat dan pagar Dewan Komuniti Kampung Rhu 10 dan RM100 ribu lagi untuk membina dataran kejat Dewan Komuniti di Telaga Papan ini.

“Peruntukan ini diluluskan untuk memberi keselesaan kepada warga kampung untuk mengadakan majlis serta gelanggang sukan untuk bermain,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Dewan Komuniti di Kampung Telaga Papan, dekat sini, hari ini.

Halimah berkata, Perdana Menteri akan melancarkan Pelan Transformasi PBT di bawah KPKT tidak lama lagi dan pelan itu meliputi enam teras dimana tiga teras untuk pengupayaan PBT daripada segi modal insan.

“Mencari sumber kewangan baharu untuk membantu perancangan pembangunan yang diperlukan oleh rakyat dan tiga lagi teras adalah berkaitan perhubungan antara PBT dengan rakyat meliputi perhubungan komunikasi dengan rakyat dan perhubungan dalam konteks kesejahteraan rakyat,” katanya.

Hadir sama pada majlis tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee, Timbalan Ketua Setiausaha (Kesejahteraan Bandar) Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zamri @ Fazillah Salleh, dan Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Noor Ihsan Che Mat.

– SH

Tinggalkan komen anda