
Laporan : Asmidar Zainol / Foto : Mohd Shahvian & Saiful (Sabah)
SEMPORNA, SABAH, 12 Feb (Malaysiaaktif) – Program Sehati @RTM #BagusBah mampu menjadi pemangkin mempromosikan budaya setempat kepada masyarakat luar.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Dr Salleh Said berkata, selain merakam dan menyiarkan program berkenaan, RTM juga dapat merekodkan khazanah adat tradisi dari daerah berkenaan.
“Kita menyeru para budayawan agar menghasilkan lebih banyak seni tempatan melalui lagu-lagu enik, penceritaan drama mahupun sketsa serta tarian tradisi.
“Ruang, slot dan peluang penerbit tempatan terbuka luas dan seharusnya pengkarya di negeri ini khususnya di daerah Semporna merebut peluang tersebut,” ujarnya.
Salleh juga menggesa masyarakat supaya sentiasa merujuk kepada media rasmi kerajaan bagi mendapatkan maklumat sahih serta penjelasan mengenai isu-isu semasa.
“Sekiranya kita menerima maklumat yang meragukan, rujuklah kepada sumber yang sahih sama ada terus melalui agensi kerajaan mahupun melalui media massa seperti RTM, Bernama dan laman web sebenarnya.my agar kita mendapat pemahaman yang tepat,” katanya ketika merasmikan lagu dan program berkenaan di Padang Sekolah Kebangsaan Balimbang, pada Sabtu.
Salleh turut memberi amaran agar masyarakat tidak berkongsi mana-mana berita atau isu yang tidak pasti.
“Tindakan mewujud dan menyebarkan mklumat palsu tertakluk kepada peraturan dan undang-undang Negara dan mereka ini akan berhadapan dengan tindakan sewajarnya,” jelasnya.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Pembantu Menteri Kewangan Negeri Sabah, Datuk Ramlee Marahaban, Pengerusi Perbandaran Pembangunan Ekonomi Sabah, Dato’ Sri Nasir Tun Sakaran, Pegawai Daerah Semporna, Dr Chacho Bullah serta Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Dato’ Abu Bakar Ab Rahim.
– MRR