Skip to main content
Berita TempatanHomeLabuanViralWilayah Persekutuan

1,000 Sekolah Seluruh Negara Terlibat Program ‘Smart Classroom’

By 2 Mac 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan Foto oleh: M. Khairul Azad Yunus (Labuan)

LABUAN 2 Mac (Malaysiaaktif) – Sebanyak 1,000 sekolah terpilih di seluruh negara akan dimasukkan dalam Program ‘Smart Classroom’.

Menurut Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, “Kita ada bajet tahun ini dan sebagai permulaan di seluruh negara, 1000 buah sekolah dan tiap-tiap sekolah diberi dua bilik darjah untuk Smart Classroom yang akan diputuskan pada bulan Mac.”

“Oleh kerana hari ini 1 Mac, saya boleh beritahu kepada Bahagian Teknologi Pendidikan untuk masukkan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun dalam program Smart Classroom,” katanya semasa berucap pada majlis Kunjungan Kasih ke sekolah tersebut, di sini semalam.

Jelasnya, Smart Classroom mampu meningkatkan hubungan dan interaksi di antara guru dan murid semasa proses pembelajaran di dalam bilik darjah.

Mahdzir turut menyeru guru-guru di sekolah itu agar mengecapi kejayaan berlandaskan kepada Dasar Pendidikan Negara dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025) yang sudah ditetapkan pandu arah pelaksanaan sistem pendidikan di negara ini.

Selain itu, beliau turut menasihati para pelajar sekolah itu untuk mencapai keputusan cemerlang yang seimbang antara akademik, kokurikulum, sukan, psikometrik, sahsiah diri dan personaliti selain bebas daripada masalah disiplin.

“Harap para pelajar bersemangat dan ada komitmen memajukan diri serta tidak terpengaruh dengan perkara-perkara yang membawa kerosakan seperti dadah, anti sosial, malas belajar dan sebagainya,” ujarnya.

Mahdzir mengambil kesempatan beramah mesra dengan salah seorang tenaga pengajar SMK Taman Perumahan Bedaun

Mahdzir mengambil kesempatan beramah mesra dengan salah seorang tenaga pengajar SMK Taman Perumahan Bedaun

Pada pembentangan Bajet 2018, peruntukan sebanyak RM190 juta telah diumumkan untuk menaik taraf 2000 kelas menjadi Bilik Darjah Pintar Pembelajaran Abad Ke-21 bagi meningkatkan pembelajaran berasaskan pemikiran kreatif dan inovatif.

Peruntukan ini juga adalah termasuk dana khas sebanyak RM250 juta untuk pendidikan generasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Turut hadir, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli; Ahli Dewan Negara, Datuk Bashir Alias; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Seri Alias Ahmad dan Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Raisin Saidin.

– AH

Tinggalkan komen anda