Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Kampus Satelit PERHEBAT-UMS Beri Manfaat Kepada Veteran ATM

By 1 Mac 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan      :   Eviannie Kin / Foto :  Shahvian Muhammad Razali (Sabah)

 

KOTA KINABALU, 01 Mac (Malaysiaaktif) – Kampus Satelit akan memberi manfaat dalam pelbagai bidang kemahiran kepada para veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Sabah.

Program tersebut merupakan kerjasama antara Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi memberi peluang kepada veteran tentera untuk mempelajari ilmu dalam bidang kemahiran seperti pertanian, penternakan dan akuakultur.

Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman ketika melancarkan Kampus Satelit PERHEBAT-UMS di Dewan Resital, UMS, sini, pagi Selasa, turut menyokong penuh program terbabit sebagai platform dan nilai tambah dalam meningkatkan kemahiran serta menjana pendapatan golongan berkenaan.

Abdul Aziz (kiri) dan Kamarudin (kiri) bertukar dokumen MOA disaksikan Musa (tengah).

Abdul Aziz (kiri) dan Kamarudin (kiri) bertukar dokumen MOA disaksikan Musa (tengah).

“Kita berbangga kerana UMS merupakan universiti awam pertama sebagai kampus satelit bagi PERHEBAT dalam melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta latihan kepada bakal pesara dan veteran angkatan tentera di Malaysia, terutamanya di negeri ini.

“Kerajaan Negeri juga amat mengalu-alukan dan menyokong penuh program tersebut kerana inisiatifnya amat baik dan memberi peluang kepada para veteran dan bakal pesara sebagai platform dan nilai tambah untuk meningkatkan kemahiran serta peluang menjana pendapatan mereka,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin.

Tambah Musa, ini adalah antara usaha dalam menghargai jasa dan sumbangan veteran ATM yang selama ini menjalankan tanggungjawab mempertahankan dan menjaga keselamatan negara demi rakyat.

Sementara itu, Pengerusi PERHEBAT, Leftenan Jeneral Datuk Seri Abdul Aziz Ibrahim berkata, PERHEBAT akan meneruskan program kerjasama sebegini di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Jelas beliau, buat masa ini belum ada kerjasama dari universiti di negeri lain kerana PERHEBAT sudah mempunyai kampus di Sungai Buloh dan mereka boleh datang sendiri ke sana untuk mendapatkan latihan.

“Justeru, Sabah dan Sarawak yang belum ada kampus, perlu ada kampus satelit bagi memudahkan mereka menjalani latihan,” ujar beliau.

 

-MRR

Tinggalkan komen anda