Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeKelantan

Lebih RM50 Ribu Subsidi Kerajaan Untuk Jualan Sentuhan Rakyat

By 13 Mac 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto : Mohd Noor Mahmuddin & Wan Seman Wan Bedollah (Jeli)

JELI, 13 Mac (Malaysiaaktif) – Program Jualan Sentuhan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Bunga yang diadakan di Dataran Bukit Bunga hari ini diharapkan dapat membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup dan sekaligus meningkatkan kuasa beli.

Adhan turut mengedarkan bekalan ikan percuma kepada golongan yang kurang berkemampuan.

Adhan turut mengedarkan bekalan ikan percuma kepada golongan yang kurang berkemampuan.

Ahli DUN Bukit Bunga, Datuk Mohd Adhan Kechik berkata kerajaan memperuntukkan lebih RM50,000 sebagai subsidi untuk mengadakan Program Jualan Sentuhan Rakyat sumpama ini yang bertujuan membantu rakyat terutama di DUN Bukit Bunga ini supaya orang ramai boleh  mendapatkan barangan keperluan harian dengan harga yang lebih murah daripada pasaran semasa serta berkualiti.

“Melalui program ini, orang ramai bukan sahaja boleh mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga yang murah tetapi membuktikan bahawa kerajaan amat prihatin dan sentiasa memberi keutamaan dalam membantu rakyat,” katanya semasa merasmikan program tersebut hari ini.

Adhan yang juga Pengerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara berkata setakat ini sebanyak empat kali Program Jualan Sentuhan Rakyat telah diadakan di Parlimen Jeli. Program ini akan di adakan dua kali sebulan dan dipecahkan mengikut kawasan DUN dalam Parlimen Jeli, iaitu Bukit Bunga, Air Lanas dan Kuala Balah.

Orang ramai beratur untuk mendapatkan barangan keperluan.

Orang ramai beratur untuk mendapatkan barangan keperluan.

“Pelbagai jenis barangan dijual seperti ikan, ayam, cili, beras, susu tin, telur, daging, buah-buahan dan sebagainya. Kita berharap inisiatif ini akan dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat, terutama dalam menguruskan perbelanjaan harian mereka,” katanya lagi.

Seorang pengunjung, Abd. Razak Mohamad, 73, berkata program ini baik dan memberi impak yang berkesan kepada orang ramai kerana bukan sahaja barangan dijual dengan harga yang murah tetapi inisiatif kerajaan yang sentiasa membantu rakyat.

“Selain daripada usaha kerajaan membantu rakyat, program ini juga menjadi platform dalam usaha menjayakan kempen turunkan harga barangan oleh peniaga-peniaga pada masa akan datang,” ujarnya.

Program ini turut mendapat kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Kelantan, dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia.

– SH

 

Tinggalkan komen anda