Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Program Perumahan Awam B40, M40 Satu Evolusi

By 19 Mac 2018Tiada komen2 minit bacaan

        Laporan oleh: Idris Sani / Foto: Vicky Sylvister Matanjang (Sabah)

 

KOTA KINABALU, 19 Mac (Malaysiaaktif) – Program perumahan awam untuk golongan B40 dan M40 patut dilihat sebagai satu evolusi kepada program perumahan yang sedia ada.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, di atas keprihatinan kerajaan banyak mewujudkan program perumahan awam khas untuk golongan B40 dan M40.

“Program perumahan kendalian Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Jabatan Perumahan Negara (JPN) diwujudkan kepada setiap golongan sasar.

 “Ini selaras dengan hasrat kerajaan melalui agenda pembangunan perumahan negara untuk membina sejuta buah rumah mampu milik kepada rakyat di seluruh negara,” katanya ketika berucap sempena pembukaan Ekspo Jualan Perumahan-Edisi Sabah anjuran PR1MA di Pusat Perdagangan Sabah (STC), Jumaat malam.

Aminuddin (dua kanan) menjelaskan kepada Salleh (tengah) berkenaan dengan kemudahan yang disediakan di setiap projek perumahan kendalian PR1MA di Sabah sambil disaksikan Abdul Mutalib (empat kiri).

Aminuddin (dua kanan) menjelaskan kepada Salleh (tengah) berkenaan dengan kemudahan yang disediakan di setiap projek perumahan kendalian PR1MA di Sabah sambil disaksikan Abdul Mutalib (empat kiri).

 Jelas beliau, projek sebegini memberi tumpuan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) merangkumi rakyat yang mempunyai pendapatan bulanan di bawah RM2500 serta golongan berpendapatan pertengahan (M40) meliputi mereka yang mempunyai pendapatan bulanan dari RM2500 hingga RM10,000 atau RM15,000?.

“Saya amat berbesar hati dengan adanya projek-projek seperti PR1MA, PPA1M, SPNB dan Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) di Sabah pemilikan rumah sendiri bukan lagi satu perkara mustahil bagi rakyat.

 “Melalui kemudahan seperti ini (ekspo perumahan) rakyat mempunyai akses dan pilihan yang lebih baik dan mudah kepada pemilikan rumah.

 “Ekspo ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan untuk menyediakan rumah berkualiti untuk rakyat dari pelbagai tahap pendapatan dan adalah menjadi harapan kerajaan agar masyarakat mengambil peluang mendapatkan maklumat terhadap projek-projek perumahan yang ditawarkan sepanjang ekspo ini berlangsung,” katanya.

Sebanyak 28 vendor menyertai ekspo tersebut yang dibuka kepada pengunjung dengan pelbagai aktiviti bermula pada 15 hingga 18 Mac ini.

 Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias dan Ketua Pegawai Operasi PR1MA, Datuk Aminuddin Abdul Manaf.

– MRR

Tinggalkan komen anda