Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Snik Shoe Spa – Realisasi Gurauan Di Kedai Kopi

By 1 Mac 2018Tiada komen4 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan oleh: Fauzrina Bulka/ Foto: Azman Jumat (Sabah)

 

KOTA KINABALU, 01 Mac (Malaysiaaktif) – Perbualan kosong di kedai kopi yang berkisar mengenai cara untuk menambah pendapatan mencetuskan idea kepada lima orang anak muda ini untuk memberikan perkhidmatan shoe spa atau spa kasut.

Snik Shoe Spa wujud pada Januari 2017 bermula daripada gurauan mereka berlima menawarkan khidmat membersihkan kasut kepada seorang rakan.

Merasakan ia merupakan idea yang bernas lantas pemilik Snik Shoe Spa iaitu Khairul Safwan bersama rakannya Fareezal Ag Jaafar, Hisham, Norbaini dan Ashrif berbincang untuk merealisasikan gurauan tersebut.

“Kami mengambil masa selama enam bulan mengkaji proses yang betul untuk membersihkan kasut kerana kasut mempunyai material yang berbeza.

Antara kasut yang memerlukan perhatian dan servis pembersihan

Antara kasut yang memerlukan perhatian dan servis pembersihan

 

“Selepas kedai sudah dibuka, kami juga melancarkan produk sendiri iaitu kit pembersihan kasut bagi memudahkan pelanggan melakukan proses pembersihan sendiri di rumah,”ujar Khairul Safwan.

Jelasnya, modal awal perniagaan tersebut adalah perkongsian mereka berlima hasil daripada kerja hakiki yang dilakukan kerana pada mulanya perniagaan spa ini hanya untuk pendapatan sampingan sahaja.

Namun mereka tidak menyangka akan menerima sambutan yang luar biasa lebih dari jangkaan mereka sendiri hingga turut menjadi lubuk pendapatan utama.

Khairul Safwan turut berkongsi tips penjagaan kasut yang dikatakan amat mudah dilakukan, bermula dengan spray sabun khas pada berus yang disertakan dalam kit pembersihan kemudin berus kotoran dan lap menggunakan kain.

Khairul Safwan bangga menunjukkan kit pembersihan keluaran Snik Shoe Spa.

Khairul Safwan bangga menunjukkan kit pembersihan keluaran Snik Shoe Spa.

 

Namun langkah-langkah yang mudah ini masih juga tidak semua sempat untuk lakukannya dan sebab itulah sasaran kami kepada individu yang tidak punya masa dan sibuk dengan aktiviti harian.

“Kewujudan spa kasut ini juga adalah untuk menaiktaraf profesyen kami ke tahap yang lebih tinggi kerana selama ini tukang kasut yang ada biasanya berurusniaga di kaki-kaki lima.

“Perkhidmatan kami juga lebih sistematik dan efisyen bagi mengelakkan berlakunya penipuan apabila pelanggan sewenang-wenangnya mengaku kasut orang lain sebagai miliknya,”kata Khairul Safwan.

Tambahnya juga, pada masa hadapan mereka bercadang untuk membuat sistem ‘drive thru’ dengan membina sebuah aplikasi yang mana mereka dapat menjejak perjalanan pelanggan dari lokasi mereka ke kedai agar pekerja sentiasa bersedia untuk mengambil kasut sebaik sahaja mereka tiba.

“Sejujurnya, dalam tempoh setahun kami beroperasi, telah 5000 pasang kasut telah kami servis, dan baru-baru ini juga semasa sambutan ulang tahun yang pertama, kami menerima 111 pasang kasut untuk diservis dalam tempoh dua jam promo berjalan.

“Alhamdulillah kami juga mendapat pinjaman daripada TEKUN Nasional sebanyak RM15 ribu untuk membuat beberapa RND dan pengubahsuaian kedai agar lebih sistematik dan selesa,”katanya.

Khairul Safwan dan rakan-rakan ditemui ketika perasmian kedai mereka oleh Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid pada isnin.

Jainab(tiga dari kiri) mencuba kit pembersihan Snik.

Jainab(tiga dari kiri) mencuba kit pembersihan Snik.

 

Jainab menyokong penuh usaha anak-anak muda tersebut dan prihatin kerana golongan ini mulai prihatin menjaga kesihatan khasnya penjagaan kaki.

“Anak-anak muda ini gemar memakai pelbagai jenis kasut dan saya lihat kepentingan penjagaan kasut bukan sahaja untuk mengelakkan kasut rosak ia juga dapat mengelakkan penyakit.

“Kerana itu saya turut menyarankan Snip untuk mewarwarkan dan mempromosikan perkhidmatan mereka dan turut serta dalam program yang akan melibatkan pelajar-pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) pada 17 Mac nanti.

“Snik juga ada mengeluarkan kit penjagaan kasut yang mana kita sebenarnya boleh membersihkan kasut kita sendiri ini kerana kegemaran membeli kasut berjenama ratusan ringgit pasti dapat bertahan lama jika dijaga.

“Selain itu juga, ia sangat elok untuk penjagaan kaki kerana penyakit kaki ada pelbagai dan untuk merawatinya akan mengeluarkan perbelanjaan yang banyak selain alami kaki berbau.

“Snik juga sebenarnya boleh bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan dalam satu-satu program supaya mudah mendapat lebih info mengenai penjagaan kesihatan kaki,”ujar Jainab.

-MRR

 

Tinggalkan komen anda