
LAPORAN : Fauzrina Hj Bulka / FOTO : Azman Jumat (Sabah)
KOTA KINABALU, 06 Mac (Malaysiaktif) – Mesyuarat EXCO Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) kali Ke-3 bagi penggal 2017-2020 diadakan dengan penuh semangat kerjasama dan setia kawan yang tinggi.
Ini kerana mesyuarat tersebut bukan sahaja membincangkan pelbagai program tahunan yang akan dilaksanakan tetapi ia turut meraikan penubuhan sebuah lagi cabang BSMM iaitu cabang UiTM Cawangan Sabah di pusat pentadbiran BSMM di Kota Kinabalu pada ahad.
Pada mesyuarat tersebut, Pengerusi BSMM Negeri, Asnan Yunus Chung menyerahkan sijil penubuhan kepada UiTM Cawangan Sabah dan mengiktirafnya sebagai salah satu cabang di dalam carta organisasi tersebut.
Asnan berkata dengan pengiktirafan tersebut maka BSMM Negeri Sabah mempunyai 23 Daerah atau Cabang di seluruh negeri.
“BSMM Sabah adalah kita semua, yang mengambil tanggungjawab terhadapnya dan apa yang saya mahupun kebersamaan kita tanpa mengira bangsa dan agama.
“Kebersamaan ini pastinya menjadikan kita salah satu badan sukarelawan yang berjaya pada masa hadapan.

AJK BSMM Negeri Sabah menerima penghargaan daripada Kelab Sukan Tarian Xu Xiang sempena perayaan Tahun Baharu Cina.
“Segala pencapaian yang di kecapi oleh BSMM tidak mungkin dijayakan oleh saya sendiri tanpa gandingan bahu seluruh Ahli Lembaga Pengurusan BSMM , Daerah-Daerah dan Cabang di seluruh Negeri Sabah,”ujarnya.
Melalui penganjuran itu juga, Asnan berharap ia akan memberi peluang kepada Pegawai-Pegawai dan ahli sukarelawan berkumpul dan beramah mesra.
“Bukan mudah untuk melaksanakan sesebuah program, tetapi saya dapat melihat dengan kerjasama yang diberikan oleh semua pihak BSMM Negeri Sabah berjaya melaksanakan sambutan Tahun Baharu Cina 2018 yang julung kali diadakan pada tahun ini.
“Moga apa yang kita fikirkan dan lakukan ialah salah satu tanggungjawab masing-masing untuk membangunkan BSMM selari dengan tugas utama kita berkhidmat untuk masyarakat,”katanya.
Mesyuarat yang dilaksanakan kali ini bukan sahaja berjaya menghimpunkan 14 cabang dari pelbagai daerah dan kejayaan penubuhan sebuah cabang BSMM malah ia turut diserikan dengan sambutan Tahun Baharu Cina untuk meraikan bersama ahli-ahli yang merayakan perayaan berkenaan.
Dalam majlis tersebut, Setiausaha Kehormat BSMM Negeri Sabah, Elizabeth Chin Sikayun turut merakamkan penghargaan kepada semua sukarelawan BSMM juga semua penderma yang bersama menjayakan sambutan tersebut.
Antaranya iaitu Sabah Tour Guide Charity Team dan Kelab Sukan Tarian Xu Xiang (KSK) termasuk Leslie Chan Boon Siang selaku Pengerusi Penganjur.
Hadir sama, Ketua Pejabat Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) Kota Kinabalu, Dominik Urban.
– MRR