Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Modul Menangani Perkahwinan Kanak-kanak Tepat Pada Masanya – Jainab

By 6 Mac 2018Tiada komen3 minit bacaan

 

LAPORAN : Fauzrina Hj Bulka / FOTO : Azman Jumat (Sabah)

 

KOTA KINABALU, 06 Mac (Malaysiaktif) – Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata penerbitan modul menangani perkahwinan kanak-kanak amat bertepatan dengan masanya.

“Walaupun mungkin agak terlewat, tetapi tidak apa berbanding tidak melakukan apa-apa, ini kerana dalam 2017, Sabah menduduki tempat teratas dalam permasalahan melibatkan kanak-kanak seperti sumbang mahram dan antaranya juga berkahwin muda.

“Dengan adanya modul ini kita semua akan faham tanggungjawab bersama dan saya berharap statistik kita akan berkurangan pada penghujung tahun,” ujar Jainab.

Tarsiah (empat dari kanan) dan Hajiji(lima dari kanan) mendengar penerangan ringkas Dr. Idris mengenai modul sambil diperhatikan Jainab dan empat penulis yang lain.

Tarsiah (empat dari kanan) dan Hajiji(lima dari kanan) mendengar penerangan ringkas Dr. Idris mengenai modul sambil diperhatikan Jainab dan empat penulis yang lain.

Menurutnya isu ini berlaku kerana timbulnya salah laku sosial, pendidikan, ekonomi dan kesihatan dalam sesebuah keluarga. Ada kalanya, ibu bapa mengambil keputusan sukar bagi mengelakkan malu kerana anaknya sudah melakukan kesilapan.

“Saya juga ingin menasihati kaum wanita bahawa kehidupan ini banyak liku-liku yang akan dihadapi, saya berharap wanita akan saling membantu dimana yang telah berjaya turut membantu rakan-rakan lain untuk maju.

“Inilah tahunnya bukan sahaja kita ingin memperkasakan wanita tetapi juga minda, hati dan tindakan kita. Jika kita ingin perkasa, anak kita juga mesti di perkasa bak pepatah melentur buluh biar dari rebungnya.

“Sehebat mana kita sebagai wanita, tetapi jika kita tidak menjaga keluarga dan komuniti, kita belum lagi hebat dan perkasa,”katanya ketika ditemui dalam Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama NGOS di Wisma Wanita di sini pada isnin.

Majlis anjuran bersama Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) dan Jabatan Hal Ehwal Wanita Negeri Sabah (JHEWA) disempurnakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang mewakili Ketua Menteri Melaka dan dihadir lebih 500 NGOS.

NGOS yang hadir bergambar kenangan bersama Hajiji.

NGOS yang hadir bergambar kenangan bersama Hajiji.

Turut hadir, Pengerusi MPWS, Datuk Tarsiah Tz Taman; Pengarah JHEWA, Masnah Matsalleh; Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datin Dr. Norizan Abdul Razak.

Selain daripada penyerahan Modul Tangani Perkahwinan Kanak-kanak, majlis ini turut melancarkan Pusat Bantuan Guaman Wanita yang berjaya menyelesaikan 1/3 kes daripada 14 kes yang diterima sejak beroperasi pada 2 Januari lalu.

Penyerahan modul yang mengandungi 105 muka surat tersebut diketuai oleh Ketua Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Muhammad Idris Bullare @ Bahari dan akan diguna pakai oleh warga pendidik dan fasilitator bagi mengelakkan perkahwinan gadis pada usia muda.

Nanih Abah tidak setuju perkahwinan awal berlaku kepada kanak-kanak.

Nanih Abah tidak setuju perkahwinan awal berlaku kepada kanak-kanak.

Dalam pada itu, ibu kepada tujuh orang anak, Nanih Abah, 72 berkata fenomena mengahwinkan kanak-kanak di bawah umur memang suatu tindakan yang kurang baik, tetapi kadang-kadang perkahwinan ini bukanlah di rancang tetapi berlaku secara tidak sengaja.

“Dalam usia muda begitu kanak-kanak ini sepatutnya masih belajar dan mendapat asuhan agama dari rumah.

“Ibu bapa hari ini tidak seperti ibu bapa zaman dahulu, kerana kini kedua-dua mereka bertanggungjawab dalam menjaga ekonomi keluarga hingga kurang memberi perhatian kepada anak-anak,”ujarnya.

Tambahnya, Sememangnya kita biasa mendengar remaja dikahwinkan dalam usia muda pada zaman dahulu, ini kerana didikan dan kawalan ibu bapa ketika itu sangat ketat terhadap kanak-kanak.

“Namun sekarang, kita risau jika kanak-kanak ini dikahwinkan awal akan merosakkan masa depan mereka, ditinggalkan dan bercerai selepas setahun, ditambah lagi dengan pendedahan kepada media sosial pada zaman sekarang banyak membawa pengaruh yang tidak baik kepada mereka,”katanya.

Nuraqilah kasihan mendengar kanak-kanak yang perlu berkahwin muda.

Nuraqilah kasihan mendengar kanak-kanak yang perlu berkahwin muda.

Sementara itu, pelajar lepasan Sijil Peperiksaan Malaysia, Nuraqilah Amani Mohd Hussainel, 18 berpendapat bahawa usia yang sesuai untuk remaja berkahwin adalah dalam lingkungan 26 hingga 28 tahun.

“Ini kerana mereka sepatutnya menghabiskan pendidikan terlebih dahulu dan mendapatkan pekerjaan yang stabil sebelum berkahwin.

“Lagipun dalam usia yang masih muda mereka sudah tentu belum bersedia untuk menghadapi alam rumah tangga.

“Bila mendengar berita mengenai perkahwinan kanak-kanak ini saya merasa kasihan kerana mereka seharusnya menjalani masa remaja seperti orang lain dan mencapai cita-cita mereka.

“Sebaliknya mereka perlu pula menjadi isteri atau suami walaupun ilmu mengenainya belum ada dan pastinya agak sukar untuk mereka menyesuaikan diri,”kata Nuraqilah.

– MRR

Tinggalkan komen anda