Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeWilayah Persekutuan

Jalinan Kasih Sentuh Hati Warga Bandar Tun Razak

By 3 April 2018Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan &  Foto Oleh : Parameswary Lekshmnan / Norlydiana Ishak ( Kuala Lumpur )

 

KUALA LUMPUR, 3 Apr (MalaysiaAktif) – Sebanyak 12 keluarga di Perumahan Awam Sri Johor telah menerima sumbangan menerusi Jalinan Kasih sempena Program Fiesta Bandar Tun Razak, di sini baru-baru ini.

Fatimah Kassim, 66, sudah lima bulan terlantar sakit. Beliau tidak mampu untuk menguruskan diri setelah sebahagian otaknya dijangkiti kuman sehingga kehilangan daya upaya.

Namun kini, kesengsaraan dan penderitaan beliau kian berkurang dengan adanya bantuan dan sokongan daripada Yayasan Bandar Tun Razak yang diterajui oleh Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya,  Datuk Rizalman Mokhtar. Bantuan yang dihulurkan melalui Program Jalinan Kasih yang dipelopori oleh Jabatan Penerangan WPKL dengan kerjasama Jabatan/Agensi Kerajaan Wilayah Persekutuan membawa sejuta kegembiraan pada beliau dan keluarga.

Menurut anak Fatimah, Norazzila Razali, 30, “Ibu saya telah disahkan jangkitan kuman di bahagian otak pada bulan November tahun lepas dan dirawat di hospital selama tiga bulan sebelum dibenarkan pulang tetapi rawatan yang diberikan tiada sebarang kesan positif.

Datuk Rizalman menyerahkan sumbangan kepada Fatimah Kassim yang sudah lima bulan terlantar sakit.

Datuk Rizalman menyerahkan sumbangan kepada Fatimah Kassim yang sudah lima bulan terlantar sakit.

“Kami, enam adik beradik mengambil keputusan untuk menjaga ibu di rumah secara bergilir-gilir,” kata Norazzila.

“Kami amat bersyukur Jabatan Penerangan WPKL sudi menghulurkan sumbangan titik sentuhan seumpama ini yang meringankan beban kami sekeluarga,” katanya selepas menerima kunjungan Rizalman dan Pengarah Penerangan WPKL, Mohd Taib Ubah di rumahnya.

Keluarga Fatimah merupakan salah sebuah daripada 12 rumah golongan kurang bernasib baik yang dikunjungi di Perumahan Awam Sri Johor, Bandar Tun Razak, semalam.

Menurut Norazzila, ibunya juga telah menerima sumbangan katil daripada Yayasan Bandar Tun Razak baru-baru ini dan mereka sekeluarga sangat berterima kasih kepada Rizalman atas pemberian tersebut sementara menunggu bantuan Baitumal.

Penerima sumbangan, Chew Kin Han, 76, berkata, dia terharu dan bersyukur apabila penderitaanya menghidapi sakit jantung yang menyebabkan beliau sering keluar-masuk hospital mendapat perhatian Jabatan Penerangan WPKL.

Datuk Rizalman (tengah), Haji Mohd Taib (kiri) bersama penerima sumbangan Jalinan Kasih, Chew Kin Han (kanan) penghidap penyakit jantung.

Datuk Rizalman (tengah), Haji Mohd Taib (kiri) bersama penerima sumbangan Jalinan Kasih, Chew Kin Han (kanan) penghidap penyakit jantung.

Kata Chew, “Saya berterima kasih atas keprihatinan pihak Kerajaan menghulurkan sumbangan yang dapat meringankan kos sara hidup.”

Perasaan gembira sama dikongsikan Minah a/p Wanisami, 85, yang menghuni PA Sri Johor lebih 30 tahun.

Datuk Rizalman (kanan), Devanthiran (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Minah a/p Wanisami (tengah).

Datuk Rizalman (kanan), Devanthiran (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Minah a/p Wanisami (tengah).

Menurut Devanthiran a/l Muniandy, 52, “Kebanyakkan penghuni yang telah mendiami lebih 30 tahun di sini dan Datuk Rizalman sentiasa memberi perhatian dan menitik beratkan kebajikan mereka tanpa mengira kaum Melayu, Cina mahupun India.”

Devanthiran menyifatkan pemimpin berkenaan sebagai ‘pemimpin berjiwa rakyat’ yang banyak membantu dan sangat prihatin dengan kesusahan masyarakat setempat.

Rizalman berkata, aktiviti kemasyarakatan sedemikian dapat menyantuni dan mendampingi masyarakat setempat secara langsung di samping meringankan sedikit sebanyak bebanan kepada yang memerlukan.

“Secara tidak langsung, kita dapat memperkukuhkan ikatan silahturrahim antara pemimpin dan agensi kerajaan dengan masyarakat setempat dengan mendekati serta menyelami nasib golongan berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas kunjungan rumah ke rumah berkenaan.

Turut hadir, Puan Azizah Mohamed Said, Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara.

 

-AZR

Tinggalkan komen anda