Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

COMBI Ubah Persepsi Gaya Hidup Sihat

By 29 Julai 2018Tiada komen2 minit bacaan

Sambutan baik Gotong Royong Mega Perangi Aedes 1.0

Laporan dan foto : Sharman Subramaniam & Mohamad Zairin Mohamad Zin (Selangor)

PUNCAK ALAM, 29 Jul (Malaysiaaktif) – Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad, menyifatkan Komunikasi Untuk Perubahan
Tingkah Laku (COMBI), yang diamalkan kementerian berjaya mengubah pemikiran masyarakat ke arah gaya hidup yang lebih baik.

“COMBI merupakan strategi mobilisasi sosial dan komunikasi berkesan dalam mengubah tingkah laku dengan penglibatan individu, keluarga dan komuniti,” katanya yang merasmikan Program Gotong Royong Mega Perangi Aedes 1.0 Peringkat Kebangsaan 2018, semalam.

Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad turut sama membantu membersihkan kawasan sekitar.

Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad turut sama membantu membersihkan kawasan sekitar.

Program gotong-royong mega perangi aedes ini akan diadakan di 15 lokaliti yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan bagi setiap negeri secara serentak di seluruh negara.

“Di negeri Selangor sahaja sejumlah 21,648 kes denggi dengan 17 kematian dilaporkan bagi tahun ini sehingga 21 Julai dimana menunjukkan penurunan kes sebanyak 29 peratus bagi demam denggi dan 67 peratus bagi kes kematian dalam tempoh sama pada tahun lepas.

“Manakala secara keseluruhan dilaporkan sebanyak 38,190 kes dengan 61 kematian dimana penurunan sebanyak 32 peratus bagi kes demam denggi direkodkan dan 53 peratus bagi kes kematian berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya,” kata Dzulkefly.

Dzulkefly turut bersama-sama penduduk bergotong-royong dan membersihkan kawasan sekitar dan turut melawat salah seorang bekas pesakit denggi yang baru pulih selepas empat hari ditahan di hospital.

Turut hadir adalah Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chow Chen Min dan juga Pengarah Kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr. Khalid Ibrahim.

Seramai lebih 500 penduduk sekitar Residensi Warnasari 1, 2, dan 3 serta penduduk sekitar kawasan ini hadir bagi bersama-sama bergotong royong dan membersihkan kawasan ini.

 

-NAZ

Tinggalkan komen anda