
Laporan dan Foto Oleh : Kamaruzaman Aziz
SEPANG, 28 Jul (Malaysiaaktif) – “Keprihatinan kerajaan terhadap golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) terus diberi keutamaan melalui perkhidmatan yang komprehensif dan mesra OKU dengan latihan-latihan kemahiran dan vokasional serta rawatan klinikal pemulihan supaya mereka dapat berdikari, bersaing dan menjalani kehidupan sempurna sama seperti insan lain di luar sana”,
Demikian kata Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail semasa meluangkan masa hampir dua jam turun padang meninjau dan melawat Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Bangi, pagi ini.
Beliau juga turut diberikan taklimat dan dibawa melawat ke Bengkel Unit Prostetik dan Ortotik, Bengkel Pembuatan Kerusi Roda, Bengkel Jahitan dan Bengkel Lukisan.
Wan Azizah turut dibawa melawat ke Bilik Terapi Hidro dan Bilik Terapi Snoezelen kaedah rawatan klinikal pemulihan rehabliltasi yang dijalankan terhadap pelatih orang kelainan upaya (OKU).
Sejak dibuka, pusat ini telah melahirkan ramai OKU yang berjaya. Pusat ini menempatkan 158 pelatih cacat fizikal bagi sesi 2018 dengan menawarkan 7 kursus kemahiran vokasional dan pemulihan di peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
Selain itu, pusat ini juga berjaya melahirkan jaguh sukan “para” di peringkat ASEAN dan antarabangsa.
Pada sesi lawatan ini, Wan Azizah telah merasmikan Pertandingan Ambilimpik Kebangsaan 2018 yang merupakan pertandingan kemahiran vokasional bagi golongan OKU.
Turut hadir adalah EXCO Kerajaan Negeri Selangor, Dr. Siti Mariah Mahmud dan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Dr. Rose Lena Lazemi.
-NAZ