
Laporan : Nurul Azreen dan Khairun Nadiah
Foto : Foto KMJG 2018
JOHOR BAHRU 13 Ogos (Malaysiaaktif)- Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG2018) memasuki hari ke 10 pada hari ini. Para peserta telah melalui perjalanan sejauh 254.7 km dan telah merentasi 3 daerah di Johor iaitu di Kluang, Kota Tinggi dan Nusajaya.
Kemeriahan konvoi kali ini dapat dirasai dengan kehadiran Yang Mulia Dato’ Tunku Omar Ibni Tunku Muhammad dan Yang Mulia Dato Tunku Hassan Ibni Tunku Muhammad yang bersama-sama sertai Kembara Merdeka pada kali ini.
Bagi pit stop yang pertama, peserta KMJG 2018 telah berkunjung ke Dewan Taman Sri Lambak Kluang dan kehadiran peserta KMJG 2018 telah disambut dengan meriah oleh penduduk di sana.
Antara acara yang disediakan adalah deklamasi sajak yang begitu puitis diperdengarkan.
Seterusnya peserta KMJG 2018 bergerak ke pit stop seterusnya iaitu di SMK Bandar Kota Tinggi. Di sini kemeriahan dapat dirasai dengan tarian yang sememangnya simbolik bagi negeri Johor iaitu tarian Zapin yang di persembahkan oleh pelajar-pelajar di sekolah ini.
Bagi pit stop yang terakhir, konvoi KMJG 2018 bergerak terus ke Johor Baharu untuk Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Johor 2018. Majlis ini telah di sempurnakan oleh Menteri Besar Johor, iaitu Dato’ Haji Osman bin Haji Sapian.
“ Dengan memahami apa itu erti kemerdekaan ia sekaligus dapat memupuk pemuafakan antara kaum” ujarnya.
Selain itu beliau turut menyatakan bahawa perpaduan adalah sumber kekuatan dan kunci kejayaan bagi sesebuah negara.
Majlis telah berlangsung dengan cukup meriah dan pelepasan konvoi juga telah dilakukan oleh Dato’ Haji Osman bin Haji Sapian.