
Laporan : Syed Hisham Shah (Putrajaya) Foto : Nor Fakruddin
PUTRAJAYA, 31 Ogos (Malaysiaaktif) – Putrajaya khususnya kawasan dataran Putrajaya dipenuhi orang ramai seawal empat pagi lagi sempena Acara Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2018 hari ini.
Peserta perbarisan, orang ramai mahupun peniaga mula memenuhi ruang perbarisan hari kebangsaan yang dianggap luar biasa ini.
Bagi Norafidah Abdul Razak, 37, kesempatan yang diberikan kali ini untuk sama-sama mengiringi anaknya, Mohamad Afiq Darwish, 13, (pelajar istimewa) dalam perbarisan kali ini amat dihargai.
“Sewaktu dimaklumkan oleh pihak kementerian bahawa anak saya terlibat dalam perbarisan kali ini, saya cukup terharu dan berbesar hati.
Untuk menguruskan Afiq bukan perkara yang susah kerana dia turut teruja terlibat dalam perayaan besar seperti ini,” ujar guru Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18(1) ini.
Seorang lagi peserta perbarisan, Ng Jie Lun,15, dari Maktab Tentera Diraja gembira dapat terlibat dalam perbarisan tahun ini.
“Selama ini saya hanya menonton perbarisan Hari Kebangsaan di kaca televisyen sahaja, tetapi kali ini saya sendiri terlibat, seronok sangat.
“Sesi latihan diadakan selama enam hari, dan kesempatan tersebut saya gunakan untuk mengeratkan hubungan dengan pelajar-pelajar dari sekolah lain yang turut serta,” ujarnya.
Bertemakan Sayangi Malaysiaku, sambutan Hari Kebangsaan 2018 ini menekankan kepentingan perpaduan dan semangat cintakan negara dengan menampilkan seramai 12,295 peserta kontinjen pelbagai segmen.