
Laporan oleh : Norsaedah Haron / Foto oleh : Abbasalimi Mohamad
KLUANG, 13 Ogos (MalaysiaAktif ) – Kanak – kanak Tadika Kemas dan Tadika Perpaduan Taman Sri Lambak teruja menyambut konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2018 di mana Daerah Kluang merupakan “pit stop” kedua bagi Negeri Johor.
Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2018 (KMJG) yang melibatkan penyertaan sebanyak 56 buah kenderaan pelbagai jenis yang terdiri daripada 30 buah motosikal berkuasa tinggi, dan 26 buah kenderaan pelbagai segmen, disertai seramai 133 orang terdiri daripada anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aangkatan Pertahanan Awam (APM), Persatuan Motosikal ST1300 dan Jabatan Penerangan Malaysia tiba di Dewan Taman Sri Lambak pada jam 10 pagi tadi.
Pegawai Penerangan Daerah Kluang, Abdul Razak Mohamed berkata seawal jam 7.30 pagi kanak – kanak Tadika Kemas ini telah berada di dewan ini bagi menantikan ketibaan konvoi KMJG ini.
Tambah beliau, bagi mengisi ruang menunggu konvoi ini tiba, pihak jabatan telah mengadakan pertandingan mewarna yang melibatkan 40 orang kanak- kanak.
Ketibaan Konvoi KMJG 2018 ini telah disambut dengan kibaran jalur gemilang oleh pelajar sekolah dan kanak – kanak tadika bersama – sama Pegawai Daerah Kluang, Ismail Abu dan ketua – ketua jabatan daerah Kluang.
“Aktiviti konvoi KMJG ini membawa mesej yang amat bermakna dimana mengajak seluruh rakyat Malaysia bersama – sama dengan rasa cinta dan bangga mengibarkan Jalur Gemilang,” kata Ismail Abu semasa menyampaian ucapan beliau di sini.

Ketua Konvoi KMJG 2018, Lim Ann Teck menyerahkan Jalur Gemilang kepada Pegawai Daerah Kluang, Ismail Abu
Tambah beliau, mungkin ada yang bersikap sinis terhadap aktiviti ini dengan mempersoalkan apa faerahnya mengibarkan bendera tetapi bagi rakyat yang faham dan tebal semangat kenegaraannya akan berfikir secara positif kebaikan aktiviti ini.
Beliau menyeru semua yang hadir pada hari ini untuk menanamkan satu perasaan bangga dan sayangi Negara kita dengan mengibarkan Jalur Gemilang ini.
- AA / MRR