Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeKelantan

‘Nisae’ Rahsia Juadah Enak Orang Kelantan

By 21 Oktober 2018Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan/foto: Nur Shafira Mat Hussin (Pasir Puteh)

PASIR PUTEH, 21 Okt (Malaysiaaktif) – Umum mengetahui Kelantan sememangnya sebuah negeri yang kaya dengan budaya dan juadah makanan.

Di sebalik pelbagai jenis juadah makanan yang dihasilkan, tersembunyi suatu rahsia keenakannya yang dikenali sebagai manisan Kelantan ataupun ‘nisae’ (manisan) yang pada zahirnya kelihatan mirip dengan gula melaka namun menampilkan rasa yang berbeza.

Di Pasir Puteh terdapat seorang pengusaha manisan Kelantan yang meneruskan legasi 30 tahun pembuatan manisan tersebut yang bermula daripada ibu beliau.

Tuan Mazlah Megat Sulong, 41, telah membesar dengan melihat ibunya membuat dan mengusahakan produk manisan tersebut. Beliau kemudiannya mula serius dalam meneruskan legasi ibunya sejak 10 tahun yang lalu.

Kerek yang telah siap dibungkus dan sedia untuk dijual.

‘Nisae’ yang telah siap dibungkus dan sedia untuk dijual.

“Setiap hari, kilang manisan akan bermula seawal pukul 5 pagi dan berakhir pada pukul 2 petang, dengan kekuatan seramai enam orang pekerja, kami mampu menyiapkan maksima 13,000 keping sehari.

“Proses pembuatan manisan ini dimulakan dengan menghidupkan api menggunakan kayu, kami masih menggunakan cara tradisional kerana yakin ia dapat mengekalkan rasa dan aromanya.

“Setelah itu, gula akan dimasukkan ke dalam kawah disulami dengan air dan ia perlu di sentiasa dikacau supaya gula tidak hangus dan manisan tidak pahit,” ujarnya yang komited meneruskan legasi keluarganya ini.

Tuan Mazlah juga mendapat sokongan daripada anak-anak beliau seramai empat orang yang menunjukkan minat untuk meneruskan legasi pembuatan manisan itu.

Dalam pada itu, ibu Tuan Mazlah iaitu Nik Nab Nik Man, 66, ketika ditemui berkata beliau belajar cara membuat manisan tersebut dengan besannya yang berasal dari Kampung Kulim, di sini yang sememangnya pada ketika itu popular dengan keenakan manisan yang dihasilkan.

Pekerja Tuan Mazlah sedang menyiapkan kerek di premis perniagaannya.

Pekerja Tuan Mazlah sedang menyiapkan manisan di premis perniagaannya.

“Ketika itu saya cuma berniat untuk belajar dan membuat ‘nisae’ untuk kegunaan dan simpanan saya. Setelah yakin dengan pengalaman yang ada, saya mula membuka kilang manisan ini sehingga kini diteruskan oleh anak saya.

“Campuran gula dan air sahaja tidak akan menghasilkan manisan yang enak, ia perlu di campur dengan pati manisan tuak dan sedikit gandum untuk membuatkan tekstur manisan tidak lembik” ujar Nik Nab sambil tersenyum.

Bagi mengembangkan perniagaan keluarganya, Tuan Mazlah juga mendapat suntikan dana pinjaman perniagaan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Bermula dengan pinjaman sebanyak RM3,000 hingga kini jumlah terkumpul pinjaman beliau adalah sebanyak RM20, 000. Beliau menggunakan dana pinjaman tersebut bagi tujuan membesarkan kilang dan sebagai modal pusingan.

Faizul (tengah) kagum dengan kesungguhan yang ditunjukkan Tuan Mazlah (kiri) dalam mempertahankan perniagaan warisan ini.

Faizul (tengah) kagum dengan kesungguhan yang ditunjukkan Tuan Mazlah (kiri) dalam mempertahankan perniagaan warisan ini.

Pengurus Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Cawangan Pasir Puteh, Faizul Mamat, ketika ditemubual berkata di Pasir Puteh terdapat lebih 3,000 peminjam AIM yang terdiri daripada peniaga dan penjaja. Pecahan jumlah peminjam adalah berdasarkan sistem blok dan pusat mengikut tempat masing-masing.

“Terdapat 10 blok di Pasir Puteh yang mana ahlinya adalah peminjam AIM, sehingga September 2018 ini cawangan Pasir Puteh telah memberikan pinjaman berjumlah RM18.5 juta,” ujar Faizul.

Turut mengulas mengenai kejayaan usahawan yang mendapat suntikan pinjaman daripada AIM seperti Tuan Mazlah, Faizul berharap ia menjadi inspirasi kepada usahawan Industri Kecil & Sederhana (IKS) yang lain supaya terus berusaha mengembangkan perniagaan mereka.

Salah seorang pelanggan, Sidah Yaman, 60, berkata beliau akan membeli manisan ini terus dari kilang kerana berdekatan dengan rumahnya. Manisan yang dibeli akan digunakan untuk memasak pelbagai juadah makanan untuk santapan keluarga.

-SH

Tinggalkan komen anda