Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajayaSabah

Musang King, Nanas, Kelapa Aset Pendapatan Sabah Pada Masa Depan

By 30 Oktober 2018Tiada komen2 minit bacaan

KENINGAU, 30 Okt (Malaysiaaktif) : Daerah pedalaman Keningau dikenal pasti antara kawasan penanaman makanan utama di Sabah dengan memfokuskan tanaman durian spesies musang king, nanas MD2 dan kelapa yang dilihat mempunyai nilai komersil pada masa hadapan.

Pengarah Jabatan Pertanian Sabah Datuk Idrus Shafie berkata tiga komoditi baharu itu dapat menjana sumber pendapatan rakyat dan negeri Sabah selepas kelapa sawit.

Beliau berkata permintaan keperluan makanan semakin meningkat tetapi hanya lima peratus atau 43,593.1 hektar kawasan merupakan pengeluar tanaman makanan di Sabah, jauh lebih kecil berbanding 95 peratus keluasan penanaman komoditi lain seperti kelapa sawit.

“Kita melihat dalam lima atau 10 tahun akan datang, aktiviti tanaman makanan menjadi satu perniagaan yang maju dan menguntungkan, sebab itu kita fokus kepada durian musang king, nanas MD2 dan kelapa,” katanya kepada Bernama di sini.

Menurut Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), nilai eksport durian musang king ke China pada tahun 2017 ialah RM23.4 juta berbanding RM18.2 juta pada tahun 2016 iaitu peningkatan sebanyak 175 peratus.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam lawatannya ke China baru-baru ini juga berkata sekurang-kurangnya 1.4 bilion penduduk China adalah penggemar durian musang king.

Justeru, Idrus berkata kawasan pedalaman di negeri ini sangat beruntung kerana memiliki tanah yang subur dan boleh ditanam dengan pelbagai jenis tanaman makanan bernilai komersil.

Mengenai pelaksanaan Amalan Pertanian Baik (myGAP), Idrus berkata ia bertujuan memperkenalkan sistem pengurusan ladang secara bersepadu dengan mematuhi paiawaian, undang-undang dan peraturan tertentu.

“Tujuannya ialah mengurangkan bahaya, risiko dan impak negatif pengeluaran hasil pertanian di peringkat ladang juga untuk menghasilkan produk berkualiti, selamat dimakan, mengurangkan pencemaran alam sekitar dan mengutamakan kawalan makhluk perosak bersepadu,” katanya.

Menurutnya, MyGAP merupakan hasil penjenamaan semula Skim Amalan Baik Malaysia (SLAM) yang diperkenalkan sejak tahun 2002 dan melalui myGAP hasil pertanian makanan Malaysia mampu bersaing di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Kesemua negara Asia telah melaksanakan amalan itu antaranya Thailand dengan piawaian Q MARK / ThaiGAP, Indonesia (IndoGAP), Filipina (PhilGAP), Brunei (BruneiGAP) dan Singapura (GAP-VF).- Bernama

-ER

Tinggalkan komen anda