Skip to main content
Home

Pulau Pinang Muncul Juara

By 7 Oktober 2018Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/ foto: Khairun Nadiah, Syed Hisham (Putrajaya)/ Sh. Nurul Sy. Wahid (Pahang) 

KUANTAN, 7 Okt (Malaysiaaktif) – Kumpulan yang mewakili negeri Pulau Pinang dinobatkan sebagai johan dalam Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Kebangsaan 2018 yang diadakan di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Kuantan.

Mereka menewaskan empat lagi kumpulan yang turut mara ke peringkat akhir iaitu wakil dari negeri Pahang (naib johan), Johor (tempat ketiga), Sabah dan Terengganu. Kumpulan yang terdiri daripada 3 orang peserta itu menggelarkan diri mereka Magang Teater Senibayan dan membawa kisah yang bertajuk Leftenan Adnan: Antara Syahid Sang Wira dan Cinta Sophia.

Persembahan dari kumpulan Magang Teater Senibayan mewakili Pulau Pinang yang muncul johan.

Persembahan dari kumpulan Magang Teater Senibayan mewakili Pulau Pinang yang muncul johan.

Menurut salah seorang peserta dari Pulau Pinang itu, Mohd Nawi Ismail, mereka sangat bersyukur dengan kemenangan tersebut meskipun tidak berada dalam kesihatan yang baik.

“Walaupun kesihatan kurang mengizinkan, kami bersyukur dengan kemenangan ini kerana apa yang penting adalah kami dapat menyampaikan mesej kepada para penonton bahawa di sebalik setiap kekuatan seseorang wira itu ada tulang belakangnya dan bagi Leftenan Adnan, orangnya adalah Sophia,” ujar Mohd Nawi ketika ditemui wartawan Malaysia Aktif selepas diumumkan johan.

Mohd Nawi turut menjelaskan persembahan mereka itu adalah hasil kajian dan latihan yang dijalankan seawal sembilan bulan yang lalu. Sebagai johan, mereka membawa pulang wang berjumlah RM6,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil penyertaan.

Menurut salah seorang penonton, Yasmin binti Mohd Reezan, 18, program ini dapat membantunya memahami kisah-kisah pejuang negara dengan lebih mendalam seperti kisah pengorbanan isteri Leftenan Adnan, Sophia Pakih Muda dan sasterawan tersohor, Datuk Usman Awang.

Aksi naib johan, kumpulan Mestika Jauhari mewakili Pahang.

Aksi naib johan, kumpulan Mestika Jauhari mewakili Pahang.

Yasmin juga menyatakan hasratnya agar pertandingan ini dapat diteruskan kerana warga muda sepertinya sememangnya tertarik dengan pendedahan sejarah melalui medium pengisahan.

Turut hadir semasa pertandingan itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Dato’ Ibrahim Abdul Rahman.

Tinggalkan komen anda