Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Budaya Saling Membantu Diamalkan Di Selangor – Amirudin Shari

By 14 Disember 2018Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 14 Dis (Malaysiaaktif) – Budaya membantu antara orang kaya kepada yang kurang berkemampuan kini bukan hanya menjadi budaya kerajaan negeri, malah ianya turut dibudayakan anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri Selangor.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, sikap saling membantu ini agar negeri Selangor menjadi negeri yang baik, sejahtera dan bahagia.

“Sikap dan budaya rakyat Selangor iaitu orang senang membantu yang susah, manakala orang yang susah keluar daripada kesusahannya untuk membantu orang lain. Akhirnya ia menjadi budaya di seluruh negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan Program Kembali Ke Sekolah anjuran Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) di Kampung Sungai Pusu, Gombak, di sini hari ini.

Budaya saling membantu antara satu sama lain agar Selangor menjadi negeri yang baik, sejahtera dan bahagia.

Budaya saling membantu antara satu sama lain agar Selangor menjadi negeri yang baik, sejahtera dan bahagia.

Menurut beliau, pada tahun ini MBI menyalurkan sumbangan berjumlah RM200 setiap penerima kepada 150 orang penerima bagi semua 52 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

“Sebanyak 8,400 keluarga di seluruh negeri Selangor mendapat manfaat ini melalui peruntukan berjumlah RM1.7 juta,” jelasnya.

Tambah Amirudin, sejak empat tahun lepas MBI banyak melaksanakan program berbentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti sumbangan asnaf semasa aidilfitri, sumbangan lembu-lembu korban, dan program kembali ke sekolah.

“Ini hasil kemakmuran negeri Selangor, di samping program-program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) melalui peruntukan melebihi RM200 juta setiap tahun bagi memastikan hasil negeri dikongsi bersama rakyat,” katanya.

Turut hadir di program tersebut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham, ADUN Kuang, Sallehudin Amirudin dan Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin.

 

-NAZ

Tinggalkan komen anda