Skip to main content
Berita TempatanHomeKuala LumpurSains & TeknologiWilayah Persekutuan

Ranking Jalur Lebar Malaysia Meningkat – ITU

By 14 Disember 2018Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

KUALA LUMPUR, 14 Dis (Malaysiaaktif) – Kedudukan Malaysia dalam kategori ‘price basket’ jalur lebar tetap Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) meningkat enam anak tangga daripada 41 kepada 35, menurut Measuring the Information Society Report (MIS) 2018 yang dikeluarkan kesatuan itu.

Laporan tahunan itu juga menunjukkan Malaysia mencatat lonjakan ketara daripada anak tangga ke-61 kepada anak tangga ke-36 dalam penggunaan pakej telefon bimbit prabayar 500MB dan melakar prestasi baik dalam kelompok harga selular mudah alih dengan naik tiga anak tangga.

Dalam kenyataan hari ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata negara ini bagaimanapun jatuh 22 anak tangga dalam kategori berasaskan komputer mudah alih, terutama dalam penggunaan dongles dan USB dan kejatuhan itu berpunca daripada perubahan keutamaan pengguna.

ICT Price Basket (IPB) ITU merujuk kepada ukuran kemampuan komposit berdasarkan tiga sub-basket iaitu perkhidmatan telefon talian tetap, selular mudah alih dan Internet jalur lebar tetap, yang dikira sebagai peratusan purata Pendapatan Kasar Negara (GNI) per kapita.

Pengerusi SKMM Al-Ishsal Ishak berkata dengan kira-kira 87 peratus pengguna Internet dan 118 peratus kadar penembusan jalur lebar di Malaysia, kerajaan kini lebih komited daripada biasa bagi memastikan tiada siapa yang tercicir.

“Usaha meningkatkan capaian dan liputan berserta penurunan harga jalur lebar bermakna semakin banyak rakyat Malaysia akan mempunyai capaian terhadap Internet dan mengubah kehidupan mereka melalui penggunaan ICT,” kata beliau seperti yang dipetik kenyataan itu.

Al-Ishsal berkata di samping mencatat pertumbuhan langganan bagi jalur lebar mudah alih sebanyak 23.6 peratus antara 2016 dan 2017, ITU juga melaporkan Malaysia terus mencatat persaingan sengit, dengan bahagian pasaran tiga pengendali utama perkhidmatan mudah alih iaitu DiGi, Maxis dan Celcom menurun daripada 78.2 peratus kepada 74.2 peratus pada 2017.

“Berikutan langkah pembekal perkhidmatan bergerak secara agresif untuk menawarkan jalur lebar mudah alih berserta pakej data inovatif dan kompetitif, termasuk elaun data besar serta telefon pintar berharga patut, penggunaan jalur lebar mudah alih menjadi semakin rancak, terutama dalam tempoh setahun lepas, kata beliau.

Menurut Al-Ishsal, persaingan menjadi semakin sengit tahun ini berikutan pelaksanaan standard mandatori harga capaian (MSAP), yang membolehkan lebih banyak pembekal perkhidmatan menawarkan perkhidmatan, sekali gus menjadikan harga terus turun dengan pengurangan sebanyak 34 hingga 56 peratus dalam kategori jalur lebar tetap melalui pajek baharu yang ditawarkan.

“Pada waktu sama, SKMM akan memantau dan menguatkuasakan secara tegas kualiti perkhidmatan seperti yang ditetapkan Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan. Kami juga akan terus berusaha untuk menambah baik infrastruktur digital dan perkhidmatan di negara ini,” katanya.

Menurut ramalan ITU, menjelang akhir tahun ini, lebih separuh daripada penduduk dunia akan menggunakan Internet, suatu pencapaian penting ke arah mewujudkan masyarakat yang mempunyai maklumat lebih inklusif, sekali gus membuka peluang baharu kepada pembangunan melalui ICT. – BERNAMA

Tinggalkan komen anda