Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedah

Impian Jadi Usahawan Bakeri Terlaksana

By 10 Disember 2018Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/foto: Fasharina Kholil/Rasidi Che Sa (Sik)

SIK, 10 Dis (Malaysiaaktif) – Seorang graduan kulinari Kolej Komuniti Baling, Norhamizah Abd Hamid, 32, mampu tersenyum bangga kerana berjaya merealisasikan impian untuk mempunyai perniagaan sendiri.

Norhamizah atau lebih mesra disapa Miza berkata, dia membuka perniagaan sejurus selepas menamatkan pengajian.

“Saya mula berniaga pada tahun 2012 secara kecil-kecilan di rumah dan mengambil tempahan daripada kenalan terdekat saja. Sambutan hangat yang diterima, membuatkan saya tekad untuk membuka kedai kek sendiri.

“Sejak dari kecil lagi, saya minat untuk membuat kek dan sering mengimpikan untuk memiliki mesin kek sendiri.

Miza memasang impian untuk meluaskan lagi perniagaannya serta mempelbagaikan produk yang dihasilkan.

Miza memasang impian untuk meluaskan lagi perniagaannya serta mempelbagaikan produk yang dihasilkan.

“Minat saya ini turut di sokong oleh arwah ibu dan bapa. Tanpa sokongan dan kepercayaan mereka, tidak mungkin saya berada di sini hari ini,” katanya yang ditemui di kedai kek miliknya di Batu 8, di sini.

Anak bongsu daripada tiga beradik ini turut mempunyai produk tepung kek segera sendiri yang dihasilkan bagi memenuhi keperluan pelanggan.

“Tidak semua orang mampu untuk membeli sebiji kek, jadi daripada situ timbul idea untuk menghasilkan tepung kek segera dengan harga mampu milik agar semua dapat menikmatinya setanding kek di pasaran,” kata pemilik Qaseh Mieza Bakery ini lagi.

Sepanjang enam tahun berkecimpung dalam bidang ini, banyak pengalaman pahit dan manis yang telah ditempuhinya.

Miza turut mengadakan kelas bakeri sempena cuti sekolah.

Miza turut mengadakan kelas bakeri sempena cuti sekolah.

“Saya berjaya mengharungi semua ini berkat doa, usaha dan dorongan daripada keluarga. Syukur kini saya mampu memiliki perniagaan sendiri dan berharap dapat mengembangkan lagi dari masa ke masa,” tambahnya.

Miza turut mendedahkan dia sering mendapat undangan bagi mengadakan kelas serta berkongsi ilmu untuk suri rumah serta ibu tunggal di Kolej Komuniti serta Mini RTC sekitar Baling, Sik dan Yan.

“Saya berharap agar kemahiran yang diperolehi dapat membantu menambah pendapatan serta menaik taraf kehidupan keluarga mereka.

“Sempena musim cuti sekolah ini, saya juga mengadakan kelas membuat piza serta kek cawan kepada anak-anak bagi mengisi masa lapang mereka.

“Aktiviti ini juga dapat memberi peluang kepada anak-anak untuk mencuba sesuatu yang baharu dan lupakan seketika peranti dan gajet mereka,” jelasnya mengakhiri pertemuan.

-SH

Tinggalkan komen anda